top of page
Wartawan Nabalu News

'Guru enggan terima vaksin wajar diambil tindakan disiplin'


Gambar hiasan

3 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew dan Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Beberapa ibubapa dan tenaga pengajar di sini berpendapat bahawa guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 wajar diambil tindakan disiplin dan bukan hanya ditukar tugasan atau tempat mengajar sahaja.


Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin mengumumkan bahawa guru yang menolak vaksin mungkin ditukar jika tindakan mereka menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terjejas.


Seorang guru sekolah rendah, Fionaricca Asui berkata beliau kurang bersetuju jika golongan guru itu hanya ditukar sekolah atau tugasan kerana ianya berkemungkinan tidak akan mengubah fikiran mereka untuk divaksin.


"Bagi saya semua guru wajib divaksin melainkan atas sebab-sebab kesihatan. Itu boleh dipertimbangkan.


"Tetapi jika mereka tidak mahu divaksin kerana bergelar sebagai 'antikvaksin', bagi saya mereka perlu digantung tugas.


Fionaricca Asui

"Kita sedia maklum bahawa vaksinasi amat penting dalam mengekang dan menjaga keselamatan serta kesihatan warga sekolah terutamanya murid-murid dari jangkitan Covid-19," katanya ketika ditemubual oleh Nabalu News.


Tambah guru yang berumur 26 tahun itu, kepercayaan dan keyakinan ibubapa terhadap persekitaran sekolah akan berkurang kerana risau akan kesihatan anak mereka semasa berada di sekolah walaupun guru tidak dibenarkan mengajar murid secara bersemuka.


Katanya, walaupun mereka ditempatkan di tempat khas dan diberi tugasan lain, mereka tetap berada di kompaun sekolah.


"Tambahan pula, guru adalah modal insan kepada murid-murid dan tindakan mereka untuk menolak vaksin mungkin boleh menjejaskan pemikiran murid-murid mengenai keselamatan vaksin.


"Sepatutnya, guru-guru kena fikir yang terbaik untuk murid-murid. Sebagai seorang modal insan, mereka dikatakan sudah mampu membuat penilaian bijak atau berfikir secata kritis tentang kepentingan mengambil vaksin," ujarnya.


Seorang lagi guru, Endo Mayang berkata, guru menggalas tanggungjawab untuk mendidik anak murid demi masa depan negara dan mereka tidak wajar ditukar tugasan hanya kerana mereka menolak vaksin.

Endo Mayang

"Pada pandangan saya, semua guru wajib mendapatkan suntikan penuh vaksin Covid-19 kerana tugas guru yang memerlukan interaksi secara fizikal dengan kanak-kanak yang mudah terdedah dengan wabak berjangkit ini.


"Pihak kerajaan hendaklah memantau sebab-sebab guru enggan menerima vaksin kerana ada di kalangan guru yang tidak layak menerima vaksin atas faktor kesihatan. Saya bersetuju bahawa golongan guru ini wajib diberi tugasan yang tidak memerlukan kontak rapat dan fizikal dengan murid-murid.


"Selain itu, bagi guru yang layak menerima vaksin tetapi memilih untuk tidak menerima, saya bersetuju sekiranya golongan ini diberi tindakan disiplin kerana kelakuan mereka ini boleh mendatangkan musibah kepada rakan guru dan murid-murid," katanya.


Sementara itu, seorang ibu kepada anak Tingkatan Enam Atas berpendapat bahawa perkara ini harus diatasi secara bijak dan prihatin.


Ujarnya, pihak kerajaan juga perlu mencari peluang untuk terus meyakinkan para guru untuk mengambil vaksin.


"Bagi saya, mengancam untuk memindahkan guru ke sekolah lain bukan satu inisiatif yang bagus kerana ini akan menyusahkan kehidupan mereka dan keluarga mereka.


"Kementerian Pendidikan mungkin boleh mengadakan program khas untuk membantu golongan guru-guru ini.


"Jika mereka masih degil dan tidak mahu menerima vaksin, maka tindakan disiplin seperti menggantung kerja perlu diambil kerana tindakan mereka boleh menjejaskan kesihatan murid-murid serta warga sekolah," kata Emily Lee, 45, yang berasal dari Putatan.

Mohd Faizal Akhbar, seorang ayah kepada murid Tingkatan Satu berkata beliau menyambut baik pengumuman pembukaan sekolah secara berperingkat tetapi gusar dengan tindakan golongan warga pendidik yang menolak vaksin.


Jelasnya, tindakan segolongan guru itu amat mengecewakan kerana vaksinasi adalah usaha murni untuk menghindarkan diri daripada terkena jangkitan virus dan sekali gus dapat mengembalikan hidup seperti biasa dan menghidupkan ekonomi negara.


"Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan bertegas dengan arahan dan keputusan untuk kepentingan ramai.


"Mendepani skop lebih besar dan luas, guru menolak vaksin walau apapun alasannya, perlu mempertimbangkan agar menerima arahan ini dalam usaha bersama menangani pandemik ini," katanya.


Faizal berkata beliau bersetuju dengan cadangan Emily bahawa program khas harus diadakan untuk guru-guru ini agar mereka dapat berbincang dari hati ke hati mengenai kerisauan mereka terhadap vaksinasi.


"Walaupun vaksin ialah pilihan dan hak peribadi, ia membabitkan kebajikan serta kemaslahatan orang lain terutama murid," katanya.


Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin baru-baru ini mengumumkan bahawa empat kategori murid akan hadir ke sekolah mulai esok (4 Oktober) sejajar dengan garis panduan pembukaan sekolah di negeri Fasa Dua.


Kategori ini membabitkan murid Tingkatan Enam Semester Dua atau Tingkatan Enam Atas, Murid Berkeperluan Khas (MBK), pelajar Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia dan murid yang mengambil peperiksaan antarabangsa.


Katanya, hanya sejumlah 14,935 + 198 orang murid yang boleh hadir ke sekolah. Angka tersebut kurang daripada 3.00 peratus daripada jumlah murid di Sabah. Guru yang terlibat pula adalah lebih kurang 1,700 orang sahaja.

Comments


bottom of page