Guru, pelajar hargai sumbangan Ewon bantu perkasakan pendidikan SMK Narinang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Guru, pelajar hargai sumbangan Ewon bantu perkasakan pendidikan SMK Narinang


25 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUNDASANG: Guru-guru dan pelajar SMK Narinang, Kota Belud menghargai komitmen, sumbangan berterusan dan keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dalam memperkasakan pendidikan di kawasan DUN Kadamaian.


Pengetua SMK Narinang Soo Yong Huat berkata, melabur dalam pendidikan akan memberikan satu pulangan yang amat besar pada masa akan datang dan ia akan membentuk satu bangsa yang berkualiti.


“Inilah yang dilakukan oleh Datuk Ewon sekarang. Kami amat menghargai usaha beliau membantu sekolah dan para pelajar yang memerlukan sumbangan khususnya di SMK Narinang.


“Datuk Ewon telah memberikan  banyak sumbangan kepada sekolah dan pelaja,  bukan sahaja dari segi kewangan tetapi sokongan dan inspirasi kepada kami untuk terus berusaha melahirkan pelajar cemerlang di sekolah ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan 6, SMK Narinang di Hotel Perkasa, di sini, hari ini.


Majlis itu disempurnakan oleh Datuk Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia.


Sementara itu Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) SMK Narinang Octovia Hechel Kosilin merakamkan ucapan penghargaan kepada Datuk Ewon atas usaha berterusan membantu para pelajar di kawasan Kadamaian.


“Saya percaya  beliau akan terus membantu para pelajar yang memerlukan sumbangan bukan hanya di SMK Narinang tetapi sekolah-sekolah lain di  seluruh Kadamaian.


“Kami akan terus memberi sokongan padu kepada YB Datuk Ewon untuk meneruskan perjuangan membela dan memajukan masyarakat Kadamaian dalam semua bidang,” katanya.


Beliau berkata, bantuan yang diberikan oleh Adun Kadamaian itu kepada pelajar Tingkatan 6 di SMK Narinang dan untuk Majlis Gradusasi mereka amat dihargai.


Seorang lagi pelajar pra universiti, Vendra Sadib turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin muda berjiwa rakyat itu atas kemurahan hati membantu pelajar yang memerlukan.


“Ribuan terima kasih kepada YB Datuk Ewon kerana memberikan banyak sumbangan kepada para pelajar terutamanya pelajar yang memerlukan dan juga kepada kami yang bergraduasi pada hari ini,” katanya.


Eyzlina Zulhaji dan Janifer Jane juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan yang diberikan kepada para pelajar dan pihak sekolah terutamanya SMK Narinang.


“Kami berbangga dan amat bertuah kerana mempunyai wakil rakyat seperti beliau,” katanya.

bottom of page