Guru Penyayang, Murid Cemerlang: SMK Narinang Lancar Kurikulum Holistik 2026
- nabalunews
- Apr 1
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
1 April 2026
KOTA BELUD: Majlis Pelancaran Kurikulum sesi 2026 dan Amalan Guru Penyayang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang telah dilancarkan pagi tadi di Dewan SMK Narinang yang telah dirasmikan oleh Carlye Lajimin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Pengetua sekolah, Soo Yong Huat berkata, pelancaran itu merangkumi Kurikulum Tingkatan 1 hingga 4, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta Amalan Guru Penyayang.
Menurutnya, kurikulum tersebut dirancang sebagai panduan komprehensif kepada guru bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran akademik sekolah.

“Kurikulum ini menjadi garis panduan kepada guru dalam melaksanakan program kecemerlangan akademik, selain menetapkan target akademik yang jelas iaitu lima orang pelajar memperoleh keputusan Straight A SPM dan lima orang pelajar Straight 4.0 STPM,” katanya.
Beliau turut menekankan fokus terhadap pembentukan pelajar berakhlak mulia, hormat-menghormati, serta penguasaan kemahiran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.
Sebanyak 18 program kurikulum telah dirancang bagi tahun 2026 antaranya MONOTOS 7.0 SPM dan STPM, kelas malam asrama, pemberian hadiah galakan terbaik, program 4.00 STPM dan Straight A, serta pelbagai bengkel dan bimbingan berfokus.

Sementara itu, empat aktiviti utama dalam Amalan Guru Penyayang 2026 turut diperkenalkan iaitu mengalu-alukan kehadiran murid, program mentor mentee, memberi penghargaan kepada murid, dan program ziarah cakna bagi memperkukuh hubungan erat antara guru dan murid serta mewujudkan persekitaran sekolah yang harmoni dan prihatin.
Turut hadir dalam majlis itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Melon Yaming, serta wakil-wakil pemimpin, ibu bapa dan para pendidik.















Comments