Hajiji: 30 aplikasi digital bakal dibina untuk agensi kerajaan negeri
- Wartawan Nabalu News
- Aug 19, 2023
- 1 min read

19 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membangunkan sebanyak 30 sistem aplikasi bercirikan End-To-End untuk agensi-agensi kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Jelas beliau, kerajaan akan memastikan jentera pentadbiran bekerja dalam suasana 5A iaitu Available At Anytime, Anywhere with Any mobile Device, termasuk pemasangan kemudahan wifi di semua premis kerajaan dengan keselamatan siber.
“Selain itu, infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan dipertingkatkan dengan pemasangan talian jalur lebar selari dengan perluasan pemasangan rangkaian gentian optik sekaligus merancakkan penggunaan pengkomputeran awam MyDigital Economy Blueprint.
“Manakala, Sabah Net meneruskan kerja menaik taraf di semua 749 pejabat kerajaan negeri kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga tahun 2025.
"Semua usaha ini bagi memastikan pelaksanaan dan pembangunan digital yang berkesan serta mampan,” katanya semasa merasmikan International Conference On Public Organisations XII (ICONPO 2023), baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji turut menambah pembangunan 30 aplikasi tersebut akan dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi memastikan pendigitalan diperkembangkan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan.
"Melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), JPKN dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan diperkembangkan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program berkaitan," ujarnya.
Beliau juga berharap ICONPO 2023 dapat mencari cara terbaik memperkukuhkan transformasi tadbir urus yang lebih pintar dalam memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital.















Comments