• Wartawan Nabalu News

Hajiji alu-alukan usul khas Ewon dan Jin Zhe mengenai kesihatan


Datuk Hajiji Noor

4 Sept 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mengalu-alukan usul khas mengenai kesihatan yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan ADUN Luyang Phoong Jin Zhe. Beliau berkata, Kerajaan Sabah tidak mempunyai sebarang masalah untuk berbincang isu seperti usul yang baik untuk kepentingan rakyat negeri itu. Menurut laporan Astro Awani, beliau berkata ini juga selari dengan semangat di sebalik Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia. Bagaimanapun, katanya ia terpulang kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menerima usul tersebut. Baru-baru ini, Ewon dan Jin Zhe telah mengemukakan usul khas bagi sidang Dewan Undangan Negeri bagi memperkasakan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengenai isu kesihatan. Usul itu telah dikemukakan di bawah Peraturan Tetap 31 (2) agar satu enakmen baharu berkaitan pengawalan penyakit di Sabah perlu digubal dan diwartakan oleh Dewan Undangan Negeri. Menurut mereka, ini akan memberi bidang kuasa yang lebih baik kepada Kerajaan Negeri dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan juga hal-hal berkaitan kesihatan.