Hajiji: Empat pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo siap setakat 31 Dis
12 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata empat daripada 35 pakej kerja (PK) Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan setakat 31 Disember tahun lepas.
Hajiji berkata, antara pakej kerja yang telah disiapkan ialah Jalan Papar Donggongon, Jalan Tawau-Semporna, Jalan Bipas Lahad Datu dan Jalan Kampung Lot M - Batu 32 Sandakan.
Beliau berkata 11 PK masih lagi dalam pembinaan, lima PK dalam proses pemerolehan dan 15 PK di bawah Fasa 1B belum lagi dimulakan.
"Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 1,236 km dilaksanakan dalam tiga fasa dan kami mahu ia disiapkan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan selepas melawat tapak projek lebuh raya itu di Penampang semalam.
Beliau berkata Fasa 1 melibatkan laluan Sindumin-Kota Kinabalu-Kudat, Ranau-Batu 32 Sandakan dan Batu 32 Sandakan-Tawau dengan jarak 706km.
Fasa 2 ialah dari Tamparuli-Ranau (96km) dan Fasa 3, iaitu jalan Tawau-Kalabakan-Keningau-Kimanis (432km).
Dalam pada itu, Hajiji berkata pembinaan jalan berkembar Putatan-Inanam sepanjang 21.7km termasuk sebatang jalan 2.1km ke Bukit Padang di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 sudah 79.96 peratus siap.
"Projek Jalan Putatan-Inanam yang dianggarkan menelan kos RM788.37 juta dijangka siap menjelang November tahun ini.
"Projek Jalan Putatan-Inanam juga termasuk pembinaan tiga jambatan baharu menyeberangi Sungai Moyog, sebuah jambatan atas darat di Kampung Kolopis, tiga pembetung kotak di Kampung Kolopis dan tujuh persimpangan baharu," katanya.
Comments