Hajiji harus berani tuntut peruntukan lebih besar kepada Sabah – WarisanHajiji harus berani tuntut peruntukan lebih besar kepada Sabah – Warisan
top of page
  • Farah Salim

Hajiji harus berani tuntut peruntukan lebih besar kepada Sabah – Warisan


16 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mendesak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menuntut peruntukan yang lebih besar kepada Sabah.


Ketua Biro Kadazan Dusun Murut (KDM) Warisan Bahagian Putatan, Mathew Yong, berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepatutnya berani untuk menuntut peruntukan tersebut selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapha Mohamed mengatakan bahawa negeri yang lebih berada harus tolong negeri yang kurang berada, semasa menjawab soalan di Parlimen Isnin lepas.


Selain itu, beliau juga menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan apa yang dikatakan itu kerana selain mempunyai lapan daerah yang miskin, Sabah juga turut diiktirafkan sebagai negeri termiskin di Malaysia.


"Mustapha pada September tahun lepas telah mengumumkan bahawa Sabah menduduki tempat teratas sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus, berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.


"Dapatan Kajian PGK 2019 turut mengesahkan Tongod mencatat 56.6 peratus kemiskinan, diikuti Pitas (53.6), Kota Marudu (46.2), Beluran (45) dan Telupid (40.7) sekaligus menduduki ranking empat teratas.


"Selain dari empat daerah tersebut, Kota Belud, Beluran, Kudat dan Nabawan juga berada dalam senarai 10 daerah termiskin negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Mathew, Sabah juga pernah diiktiraf oleh bank Dunia sebagai negeri yang paling miskin di Malaysia pada 2009 - 2010 dan seterunya menduduki 3 negeri tercorot selain Sarawak dan Kelantan.


"Adalah tidak adil jika Sabah hanya mendapat RM5.2 billion peruntukan pembangunan luar bandar setiap tahun sedangkan negeri-negeri yang lebih kaya seperti Selangor dan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang mendapat peruntukan yang hampir sama atau lebih tinggi.


"Bukankah sudah tiba masanya negeri-negeri kaya ini memberi sumbangan mereka kepada Sabah dan Sarawak pulak? Sabah dan Sarawak juga sebahagian daripada Malaysia semenjak 58 tahun yang lepas tapi layanan yang diberikan oleh Malaya adalah seperti anak tiri.


"Buktikan semangat Keluarga Malaysia itu bukan hanya retorik semata-mata dan hentikan memperbodohkan rakyat Sabah," tegas Mathew.


Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan harus bersikap adil kepada Sabah kerana tanpa hasil sumbangan Sabah dan Sarawak, tidak mungkin Kuala Lumpur akan menjadi begitu pesat di mata masyarakat antarabangsa.


Beliau turut mencadangkan agar GRS dan Hajiji mengangkat maruah negeri dengan menuntut antara RM10b hingga RM15b untuk negeri Sabah agar masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya dapat diselesaikan bukan sahaja diluar bandar dan pedalaman tapi juga di kawasan bandar.


Seterusnya, katanya GRS juga harus mempertahankan maruah dan martabat kaum-kaum di Sabah dengan menuntut peruntukan yang lebih besar untuk pembangunan kaum Sabah dan Sarawak.


Kerajaan Persekutuan telah peruntukan pembangunan kaum sebanyak RM10 juta kepada Sabah dan Sarawak pada Pembentangan Bajet 2022 namum kaum Cina mendapat RM200 juta, India RM145 juta dan Orang Asli RM247 juta.


Bekas Ahli Majlis Daerah Putatan itu juga berkata, jurang yang begitu besar tersebut adalah satu penghinaan kepada kaum-kaum yang ada di Sabah yang sepatutnya dijaga oleh Kerajaan Persekutuan berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Sudah tiba masanya Putrajaya melihat Sabah lebih daripada 'negeri jajahan' mereka dan Hajiji sepatutnya tidak terlalu tunduk kepada Kerajaan Pusat kerana martabat serta masa depan Sabah terletak di tangan beliau," ujar Mathew.


Oleh itu, beliau juga memohon agar Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak merangkap Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili untuk tidak berlagak 'bodoh sombong' dengan meminta bukti Penjajahan Putrajaya ke atas Sabah.


"Kepada Dr Max, tolong jangan jatuhkan imej kaum KDM dengan soalan sedemikian,” tegas beliau.

bottom of page