- Wartawan Nabalu News
Hajiji: Kerajaan Negeri harap mahasiswa Sabah sumbang kepada pembangunan Sabah
11 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkongsi bahawa Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah telah memberikan bantuan pendidikan berjumlah RM685 juta kepada 43,665 pelajar Sabah sejak 1967 hingga 2022.
Katanya, bantuan ini meliputi biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi untuk pelbagai disiplin ilmu di dalam dan luar negara.
Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menaruh harapan tinggi kepada mahasiswa Sabah untuk menyumbang kepada pembangunan di Sabah.
“Sejak negara bergelut dengan pandemik Covid-19 sehingga tahun lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik termasuk beberapa lagi projek pelaburan yang kini sedang dalam proses untuk dilaksanakan daripada sektor ekonomi bernilai RM33.4 bilion yang akan menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan.
“Baru-baru ini, kami secara rasmi juga telah mengambil alih 50 peratus kepentingan dalam lapangan minyak Samarang di mana Sabah dijangka menerima 50 peratus kelayakan rakan kongsi daripada pengeluaran minyak dan gas.
“Dengan segala pembangunan ini, di sinilah Kerajaan menuntut peranan daripada siswa siswi semua untuk menyumbang kepada pembangunan di Sabah. Oleh itu, tanggungjawab yang terpikul di bahu siswa siswi semua sememangnya besar kerana selain harapan dan kepercayaan ibu bapa dan keluarga, anak-anak juga merupakan harapan dan kepercayaan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Bersama Ketua Menteri Sabah di Putrajaya International Convention Centre, Putrajaya, malam semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati mahasiswa Sabah untuk mempersiapkan diri dengan ilmu duniawi dan ukhrawi kerana mereka adalah generasi yang bakal menjadi pemimpin negeri Sabah pada masa akan datang.
Katanya, Sabah memerlukan pemimpin dan modal insan yang berkualiti, yang tinggi ilmunya, kukuh keperibadiannya serta baik akal budinya.
Tambah Hajiji, selain daripada Kumpulan Yayasan Sabah, terdapat juga pihak lain yang memberikan tajaan pendidikan tahunan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Pusat Zakat Sabah dan Yayasan Kebajikan Sabah.
Beliau turut memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang telah dilancarkan pada tahun lalu untuk membantu lebih ramai anak-anak Sabah yang memerlukan tajaan pendidikan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau menganggap mahasiswa Sabah sebagai harapan masa hadapan, aset besar negeri dan negara serta pewaris kepada kepimpinan masa hadapan. Beliau berkata, apabila mereka tamat pengajian, Sabah dan negara memerlukan penyertaan mereka untuk membawa negeri dan negara ke arah kemajuan.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Bersama Ketua Menteri Sabah di Putrajaya International Convention Centre, Putrajaya, malam ini.
Comentarios