Hajiji seru masyarakat Suang Lotud terus bersatu padu
- nabalunews
- Jun 28
- 2 min read

28 Jun 2025
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru masyarakat Dusun Suang Lotud Tuaran agar terus bersatu padu.
Beliau berkata, masyarakat perlu kekal bersatu dan terus memupuk semangat kerjasama dan gotong-royong demi memastikan masa depan yang lebih cerah untuk komuniti itu.
“Saya mahu suku Dusun Suang Lotud di Tuaran, menjadi satu komuniti yang hebat dan tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Pesta Kaamatan Suang Olung 2025, pelancaran Persatuan Pembangunan Lotud Sabah (SALDA) dan perasmian Dewan Orang Tua Kari Bin Guban di Kampung Tutu Selupoh hari ini.
Pesta Kaamatan Suang Olung 2025 yang dianjurkan oleh SALDA melibatkan sembilan buah kampung iaitu Kampung Tutu, Penampang Baru, Limposu, Roun, Kiwatu, Labuaya, Selupoh, D’Angki dan D’Mulus.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, untuk menjadi satu bangsa yang hebat, masyarakat Dusun Suang Lotud perlu memiliki pemikiran yang positif.
“Melalui cara ini, saya penuh yakin masyarakat Dusun Suang Lotud mampu setanding dengan bangsa-bangsa etnik yang lain di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya masyarakat Suang Lotud harus memastikan budaya dan tradisi mereka terus dipelihara demi generasi akan datang.
Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri hari ini adalah sebuah kerajaan yang peka terhadap keperluan rakyat.
Katanya, pelbagai projek pembangunan dan bantuan telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di Sabah.
Menurutnya, di kawasan Sulaman sahaja, banyak projek pembangunan telah siap dilaksanakan termasuk Rumah Mesra SMJ, kerja-kerja naik taraf jalan raya, jambatan dan jeti, dan lebih banyak lagi projek sedang dirancang.
“Insya-Allah, sekiranya kerajaan GRS diberi peluang sekali lagi untuk mentadbir negeri ini, lebih banyak projek akan dilaksanakan termasuk jambatan simen Labuaya di sini,” katanya.
Comments