HAK 40 PERATUS: DUA PENDEKATAN PERLU DIGERAKKAN – DENNISON
- nabalunews
- May 26
- 1 min read

26 Mei 2025
KOTA KINABALU: Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Dennison R Indang menegaskan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah tidak lagi boleh ditangguh atau dipolemikkan.
Menurutnya, perkara itu bukan semata-mata isu teknikal atau perundangan, sebaliknya melibatkan aspek keadilan, maruah dan masa depan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
“Hak ini sememangnya termaktub dalam Perkara 112C dan Jadual 10 (Bahagian IV) Perlembagaan Persekutuan serta diperkukuh menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ia sah dari segi undang-undang tetapi malangnya masih belum direalisasikan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dennison berkata beliau menyambut baik prosiding mahkamah yang dijadualkan berlangsung pada 7 Julai ini sebagai langkah penting ke arah menuntut hak Sabah.
Namun katanya, turut perlu ditekankan ialah penyelesaian melalui saluran politik yang mesti digerakkan secara proaktif dan berterusan.
“Komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu MA63 wajar dipuji dengan lebih banyak kemajuan yang telah dicapai dalam tempoh singkat berbanding pentadbiran sebelum ini.
“Kami di UPKO kekal konsisten dalam perjuangan ini dan akan terus menjadi suara rakyat Sabah di peringkat Persekutuan bagi memastikan tuntutan 40 peratus ini dilaksanakan secara adil dan saksama,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Dennison turut menyeru agar semua pemimpin Sabah, tanpa mengira fahaman politik, bersatu memperjuangkan hak tersebut demi kepentingan negeri.
“Ini bukan masa untuk berpolitik sempit. Ini masanya untuk bertindak bersama demi Sabah,” katanya.
Comments