top of page

Hak 40 Peratus Sabah: Rundingan Tidak Boleh Ganti Kewajipan Undang-Undang

  • nabalunews
  • Nov 27, 2025
  • 2 min read

27 November 2025


KOTA KINABALU: Proses rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil negeri tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan kewajipan undang-undang yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.


Pemimpin muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Achmad Noorasyrul Noortaip, berkata kenyataan Perdana Menteri yang menekankan keperluan mematuhi proses undang-undang dan bukan melalui tekanan politik dalam tuntutan berkenaan tidak mencerminkan situasi sebenar.


Ini kerana katanya, proses tersebut telah selesai melalui keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan semakan serta pembayaran dalam tempoh 180 hari mengikut peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.


“Itu bukan tekanan politik, itu perintah mahkamah. Soalnya sekarang, adakah kerajaan benar-benar mematuhi keputusan tersebut atau melengahkan pelaksanaannya atas alasan rundingan politik?” katanya.


Achmad menegaskan Sabah tidak menuntut belas ihsan, sebaliknya hanya menuntut pelaksanaan hak perlembagaan yang dijamin dalam perjanjian dan kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Jelasnya, mahkamah juga memutuskan Kerajaan Persekutuan telah gagal melaksanakan semakan hasil itu sejak 1974, dan perintah pembetulan yang dikeluarkan tidak seharusnya ditangguhkan melalui proses rundingan semata-mata.


“Jika rundingan terus dijadikan alasan, hak Sabah kekal hanya di atas kertas.


“Janji “penyelesaian MA63” pula tinggal slogan politik menjelang pilihan raya, sementara rakyat Sabah terus menunggu sesuatu yang sepatutnya sudah lama diterima,” ujarnya.


Menurut beliau, rakyat Sabah tidak lagi mahu mendengar janji-janji yang dilontarkan mengenai komitmen terhadap pelaksanaan MA63 tanpa tindakan konkrit yang menunjukkan penghormatan kepada keputusan mahkamah.


“Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar menghormati undang-undang, maka pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi itu perlu dibuat tanpa berlengah.


“Dan jika betul menghormati MA63, hak hasil Sabah harus dikembalikan sepenuhnya sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.


Achmad menegaskan Sabah tidak menuntut lebih daripada hak yang termaktub dalam Perlembagaan, namun mengingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya memberikan kurang daripada apa yang telah ditetapkan undang-undang.


“Ini bukan soal politik, tetapi soal maruah dan hak Sabah sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” katanya.


Justeru, beliau menyeru pengundi membuat pilihan bijak dengan memilih parti tempatan khususnya UPKO berikutan rekod perjuangan parti itu dalam mempertahankan hak negeri, termasuk tuntutan 40 peratus hasil dalam MA63.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page