top of page

Hak 40 peratus Sabah: Tinggal 26 hari, tiada tanda teruskan perundingan segera – Madius

  • nabalunews
  • 26 minutes ago
  • 2 min read

20 Mac 2026


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang disifatkan melengahkan perundingan berhubung pelaksanaan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih negeri, meskipun tempoh yang ditetapkan mahkamah berbaki 26 hari.


Beliau berkata, daripada keseluruhan 180 hari yang diperintahkan mahkamah untuk memuktamadkan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah, masa yang tinggal kini semakin suntuk tanpa perkembangan ketara.


“Setakat ini tidak ada apa-apa ‘urgency’ diperlihatkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan perundingan.


“Yang jelas, pada 31 Mac ini, usul bagi menangguhkan pelaksanaan perundingan (stay) dijadualkan untuk dibicarakan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar pihak Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.


Madius turut menyifatkan kenyataan berulang pemimpin tertinggi negara mengenai komitmen untuk memuktamadkan rundingan sebagai tidak selari dengan tindakan meneruskan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, keadaan itu berpotensi mengelirukan rakyat berhubung kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu berkenaan yang membelenggu Sabah sejak sekian lama.


Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak untuk terus bersatu dalam memperjuangkan hak Perlembagaan negeri berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih tersebut yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.


Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.


Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya turut mengarahkan supaya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page