top of page
  • Wartawan Nabalu News

HANYA 7,846 PENGENDALI PENGANGKUTAN AWAM DAFTAR PENERIMA VAKSIN



14 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah hanya menerima sejumlah 7,846 senarai nama pengendali pengangkutan awam di Sabah untuk pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


Pengerusi LPKP Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung berkata, jumlah itu masih rendah berbanding jumlah keseluruhan pengendali pengangkutan awam yang berdaftar dengan LPKP Sabah iaitu sebanyak 17,607 orang.


“Daripada jumlah keseluruhan yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin, hanya pengendali e-hailing yang telah menghantar senarai penuh iaitu sebanyak 7,766 orang, Manakala bagi pemandu bas, hanya 31 daripada 4,693 pengendali dan bagi pemandu teksi hanya 49 daripada 5,148 orang telah mendaftar.


“Sehubungan itu, saya menyeru kepada pemandu teksi dan bas agar mendaftar menerusi Facebook Lembaga Pelesenan Kenderaan Sabah seperti yang diumumkan sebelum ini kerana senarai nama ini akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan untuk dimajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah LPKP Sabah yang baharu dilantik, Norsiah Patah baru-baru ini.


Mengenai perlantikan Norsiah, Chin berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana melantik pengarah yang berpengalaman untuk menerajui LPKP Sabah sambil turut memberi penghargaan kepada pengarah sebelum ini.


Sementara itu, Chin menyambut baik pengumuman kerajaan untuk melanjutkan had usia penggunaan kenderaan perkhidmatan awam secara automatik selama setahun menerusi seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini.


“Langkah ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh pengendali pengangkutan awam dan berusaha sedaya mungkin untuk memulihkan sektor ini yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

bottom of page