Hanya bunga api 'pop-pop', Happy Boom dibenar Dibakar
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

15 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Polis melarang sebarang aktiviti memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api tanpa kebenaran sempena mana-mana perayaan termasuk sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut Selasa ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hanya bunga api jenis Pop-Pop dan Happy Boom dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, penjualan kedua-dua jenis bunga api berkenaan masih memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan serta perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa.
"Mana-mana individu memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api selain daripada dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam kerana ia boleh mendatangkan gangguan atau membahayakan keselamatan orang awam.
“Sekiranya ingkar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 366) serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.














