Hanya empat kategori murid akan hadir ke sekolah pada 4 Oktober ini di SabahHanya empat kategori murid akan hadir ke sekolah pada 4 Oktober ini di Sabah
top of page
  • nabalunews

Hanya empat kategori murid akan hadir ke sekolah pada 4 Oktober ini di Sabah


28 Sept 2021 Oleh Marryan Razan KOTA KINABALU: Hanya empat kategori murid akan hadir ke sekolah di negeri Sabah pada 4 Oktober ini, kata Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin. Beliau berkata, murid itu ialah Tingkatan Enam Semester Dua atau Tingkatan Enam Atas, Murid Berkeperluan Khas (MBK), pelajar Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia dan murid yang mengambil peperiksaan antarabangsa. “Sabah berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), oleh itu pada 4 Oktober ini, sekolah akan dibuka berdasarkan garis panduan pembukaan sekolah di negeri Fasa Dua yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). “Jadi, pada 4 Oktober ini, hanya sejumlah 14,935 + 198 orang murid yang boleh hadir ke sekolah. Angka tersebut kurang daripada 3.00 peratus daripada jumlah murid di Sabah. “Semua murid datang ke sekolah tanpa penggiliran. Guru yang terlibat pula adalah lebih kurang 1,700 orang sahaja,” katanya dalam temubual di SabahFM, hari ini. Mistirine berkata, daripada jumlah itu seramai 7,735 + 198 murid Tingkatan Enam Semester Dua akan hadir ke sekolah di sekolah menengah Pusat Tingkatan Enam dan Kolej Tingkatan 6. “Manakala seramai 4,144 MBK akan hadir ke sekolah di sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah rendah dan seramai 3,032 orang di PPKI sekolah menangah. “Di Sekolah Sukan Malaysia Sabah pula melibatkan seramai 24 pelajar Prauniversiti Semester 3 akan hadir ke sekolah. Setakat ini, tidak ada murid yang mengambil peperiksaan antarabangsa di sekolah-sekolah swasta sekitar Kota Kinabalu,” katanya. Bagi pelajar yang tinggal di asrama kerajaan pula, beliau berkata, mengikut data Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 7 Mei lalu iaitu hari terakhir persekolahan sebelum sekolah ditutup pada 8 Mei lepas, seramai 2,026 +198 murid Tingkatan Enam Semester Dua dan Seramai 112 Murid Berkeperluan Khas tinggal di asrama sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. “Murid-murid asrama ini akan mendaftar masuk ke asrama pada 3 Oktober bersamaan hari Ahad,” katanya. Mistirine berkata, bagi mencegah jangkitan Covid-19 di asrama, KPM telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) melalui dokumen Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan pada 24 September lalu. “Antara langkah pencegahan adalah melalui penggunaan kit ujian kendiri. KPM telah membekalkan sekolah dengan kit ujian kendiri Covid-19. “Ujian Kendiri Covid-19 kepada semua murid asrama akan dilaksanakan sebanyak tiga kali iaitu semasa murid kembali ke asrama, pada hari keenam berada di asrama dan pada hari ke-14 berada di asrama,” katanya. Katanya lagi, bagi murid asrama harian, ujian Kendiri Covid-19 akan dilaksanakan pada hari pertama semasa murid kembali ke asrama. “Ujian kendiri bagi murid asrama harian juga dijalankan jika murid bergejala atau menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semasa berada di asrama atau sekolah. “Ibu bapa, atau penjaga bertanggungjawab melaksanakan ujian Kendiri Covid-19 kepada anak atau anak jagaan apabila kembali ke asrama selepas urusan kecemasan, kematian, rawatan di klinik atau hospital atau sebab-sebab yang lain,” katanya. Mistirine berkata, bagi murid Prasekolah hingga Tingkatan Enam Rendah, mereka akan meneruskan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR). Beliau berkata, sekiranya PPN Negeri Sabah beralih dari Fasa 2 kepada Fasa 3, Kementerian Pendidikan Malaysia memberi tempoh masa dua minggu kepada jabatan, PPD dan sekolah untuk membuat persediaan pertambahan murid datang ke sekolah dan menjalani PdP secara bersemuka. “Saya berharap agar pembukaan sekolah ini berjalan lancar dengan mematuhi SOP serta garis panduan. Keselamatan warga sekolah adalah keutamaan kita,” katanya.

bottom of page