• Wartawan Nabalu News

Harga simen tinggi kerana ‘clinker’ perlu diimport ke Sabah – Masidi


8 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Isu kenaikan harga simen di Sabah adalah kerana bahan pembuatannya iaitu ‘clinker’ perlu diimport ke Sabah, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Masidi Manjun.


Beliau menjelaskan bahawa ianya merupakan punca utama kerana bahan yang perlu diimport tersebut hanya dikeluarkan di Semenanjung Malaysia.


Selain itu, beliau menjelaskan bahawa semua urusan jual beli untuk bahan penting tersebut hanya dibuat dalam dollar Amerika.


“Oleh itu, kalau kadar ringgit kita jatuh, harganya akan naik kerana pembekal ‘clinker’ ini kita cuma harapkan dari Semenanjung,” katanya semasa ucapan penggulungannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini,


Masidi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertanya mengenai langkah-langkah pihak Kerajaan untuk mengatasi masalah harga simen yang semakin meningkat.


Menurut menteri itu yang juga ADUN Karanaan, isu kenaikan harga simen bukan hanya dirasai di Sabah malah juga dirasai di Semanjung dan negeri Sarawak.


“Saya ingat hanya Sabah sahaja yang harganya tinggi, saya ada buat perbandingan di Semenanjung dan harganya pun sama juga. Malah Sarawak pun ada sedikit mahal dari kita.


“Punca kedua ialah ‘freight cost’, barangkali ramai tidak sedar, kita pun hairan sebenarnya harga ‘freight cost’ ini telah meningkat dua kali ganda dalam beberapa bulan ini. Jadi inilah yang menyumbang kepada kenaikan harga simen.


“Malah saya difahamkan Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) telah mengambil beberapa langkah dan salah satunya ialah untuk mewujudkan pusat pembelian atau penjualan runcit di kawasan CIS sendiri.


“Jadi dalam mesyuarat kabinet lepas, saya sudah mencadangkan satu pusat penjualan runcit dibuat oleh syarikat ini agar pemaju rumah dapat terus membeli dengan harga yang berpatutan iaitu harga kilang yang dijual oleh CIS,” ujarnya.