top of page
Wartawan Nabalu News

Harga tiket RM199 untuk siswa Sabah, Sarawak, had dua tiket setahun antara tawaran PH



10 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Para pelajar Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung akan menikmati harga tiket penerbangan RM199 bagi perjalanan pulang ke kampung halaman, antara Tawaran Pakatan Harapan (PH) jika gabungan itu berjaya menubuhkan kerajaan.


Kadar harga tetap RM199 untuk penerbangan antara Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya dengan had dua tiket setahun bagi setiap mahasiswa itu bertujuan meringankan beban mereka yang mahu pulang ke kampung halaman.


Calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam PH sebagai salah satu parti komponen telah membangkitkan cadangan baharu yang lebih segar untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.


“Itu sebabnya semasa kita menyediakan manifesto atau yang kita panggil Tawaran Harapan 'Kita Boleh' untuk rakyat Malaysia, kita juga menuntut supaya beberapa perkara khas untuk Sabah dimasukkan sebab kita mahu melihat hak-hak Sabah ini dapat ditunaikan.


“Ini termasuklah menuntut dan mencadangkan supaya harga tiket penerbangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Kuala Lumpur dan bila mereka balik ke negeri masing-masing.


“Bukan hanya musim pilihan raya tetapi ketika balik melawat ibu bapa di kampung perlu ada harga tetap, seragam untuk rakyat Sabah dan Sarawak, sebab itu kita mencadangkan harga RM199," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersamanya di dewan Kampung Tindai Kolopis, di sini, kelmarin.


Ewon yang juga Naib Presiden UPKO menyatakan demikian ketika ditanya mengenai salah satu tawaran PH menerusi inisiatif kembara siswa di mana PH menawarkan harga tiket penerbangan pada harga tetap RM199 untuk ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya dengan had dua tiket setahun bagi setiap mahasiswa jika berjaya menjadi kerajaan kali ini.


Beliau berkata, PH akan pastikan syarikat-syarikat penerbangan melaksanakan tawaran itu selepas berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.


"Sebagai bakal Presiden UPKO, saya akan duduk dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anthony Loke Siew Fook, Mohamad Sabu sebagai presiden parti-parti komponen PH yang lain, kami berempat inilah yang akan membuat keputusan besar PH dan ini adalah antara tawaran yang saya pastikan dilaksanakan oleh kerajaan PH," katanya.

Comments


bottom of page