Hari Bertemu Pelanggan: Ewon santuni lima persatuan
2 Feb 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyantuni lima persatuan dan dewan perniagaan sempena Hari Bertemu Pelanggan selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet kementerian di pejabatnya, di sini, hari ini.
Persatuan itu ialah Persatuan Aura Keusahawanan Manjung Perak, Myperintis, Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Chamber of Social Enterpreneur dan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (G3PM).
Kunjungan itu antaranya bertujuan membincangkan pelbagai perkara termasuk isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh ahli-ahli persatuan, bantuan pembiayaan dan program-program mereka.
Selain itu mereka turut mengemukakan pelbagai cadangan kepada kementerian untuk tujuan penambahbaik usaha membangunkan lagi koperasi, penjaja dan peniaga-peniaga kecil di seluruh negara.
Dalam pada itu, Ewon menyatakan komitmennya untuk mengamalkan pintu terbuka, mendengar sendiri permasalahan dan cadangan-cadangan daripada pelbagai persatuan berkaitan pembangunan keusahawanan, koperasi, penjaja dan peniaga-peniaga kecil di negara ini.
“Kita akan teruskan program Hari Bertemu Pelanggan setiap minggu untuk memberi peluang kepada golongan usahawan mengemukakan cadangan dan permasalahan mereka kepada saya dan juga kementerian,” katanya.
Ewon turut diberikan taklimat mengenai Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia dan Aplikasi In2Niaga untuk transaksi tanpa tunai daripada G3PM.
Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia itu dibangunkan dengan kerjasama In2Niaga, Perkeso, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Aeon Credit Service dan Aeon.
G3PM adalah gabungan persatuan penjaja dan peniaga kecil bagi semua kaum di Malaysia termasuk Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Gabungan ini berperanan menjaga kebajikan para peniaga dan penjaja di negeri-negeri seluruh Malaysia melalui wakil-wakil di setiap negeri.
Comments