Hari Malaysia Ruang Hayati Kedudukan Sabah Dalam Persekutuan

17 Sept 2026
KOTA KINABALU : Hari Malaysia menjadi ruang untuk rakyat menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan.
"Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
"Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia.
"Sebaliknya, ia adalah sebahagian usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur.
"Hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuang dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan," katanya semasa Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman serta isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September ini kekal besar kerana negara kita dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai satu Persekutuan yang berdaulat.
"Bagi kita di Sabah, tarikh 16 September ini amat bermakna kerana ia melahirkan ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan. Kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyatnya dan Sabah sendiri adalah contoh kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian.
"Kita mesti terus memelihara budaya muafakat ini. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan.
"Dalam era media sosial, kita juga perlu lebih bijaksana menilai maklumat, menolak fitnah dan sentimen yang memecahbelahkan, serta menggunakan teknologi untuk mendekatkan masyarakat dan membuka peluang baharu," jelasnya.
Beliau berkata, generasi muda perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran, keyakinan dan ruang untuk mencipta dan pada masa sama mereka harus mengenali sejarah, menghargai warisan dan memahami bahawa kemerdekaan serta pembentukan negara datang bersama tanggungjawab untuk menjaga keamanan, mengekalkan perpaduan dan kedaulatan.
Menurutnya, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 iaitu "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" membawa satu mesej yang jelas iaitu aspirasi kerajaan untuk memastikan hasil kemajuan, pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil, inklusif, dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin./Penerangan-















Comments