Hari Sukan Negara pupuk nilai perpaduan, lahir masyarakat sihat dan aktif bersukan

13 Oktober 2024
SANDAKAN: Hari Sukan Negara (HSN) yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setiap tahun, mampu memupuk nilai perpaduan kalangan masyarakat pelbagai latar.
Ahli Dewan Negara, Annabell @ Suzieana Perian, berkata, secara tidak langsung, ia juga mampu melahirkan masyarakat yang sihat dan aktif bersukan.
Beliau menyatakan perkara itu semasa merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Daerah Sandakan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan hari ini.
Majlis itu menyaksikan atlet paralimpik Sabah, Shahafiq Abdullah, 20, menerima anugerah Ikon HSN bagi daerah Sandakan pada tahun ini.
Pemilihan Shahafiq yang juga anak kelahiran Sandakan itu atas kejayaannya yang amat membanggakan untuk daerah ini pada Sukan Paralimpik Sarawak 2024 dimana dia juga telah berjaya mencipta empat rekod kebangsaan dalam empat kategori acara renang dan mendapat kesemua empat selain masing-masing 1 perak dan 1 gangsa dalam acara 4×100m.
Shahafiq juga dinobatkan sebagai olahragawan pada sukan berkenaan.
Ketika ditemui media, Annabell berkata, pencapaian Shahafiq diharap menjadi contoh kepada yang lain dan jangan mudah berputus asa untuk berjaya dalam bidang diceburi seperti sukan.
"Saya yakin kita ada ramai atlet berbakat di Sandakan yang mampu bersaing dan diasah bakat mereka seperti Shahafiq." Tambahnya.
Berkenaan HSN, katanya, ia dilihat mampu menjadi medium untuk kekal aktif dan cergas melalui aktiviti sukan.
Beliau turut memuji usaha Kementerian Belia dan Sukan atas penganjuran HSN itu yang juga menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan warga yang ceria dimana ia juga disertai kira-kira 2 juta orang pelbagai latar di seluruh negara.
Di Sandakan, lebih 3,000 peserta menyertai HSN 2024 dengan menyertai 18 acara termasuk larian, berjalan ria madani, senamrobik berbasikal, bola sepak serta lain-lain acara selain gerai jualan usahawan kecil di Sandakan.
Comentarios