top of page

LPKP Sabah perjelas isu pelaksanaan BAS.MY Kota Kinabalu

  • nabalunews
  • 13 hours ago
  • 2 min read

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah tampil menjelaskan beberapa isu dan dakwaan yang tular di media sosial berhubung pelaksanaan perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu di bawah Program Stage Bus Services Transformation (SBST) Sabah.


LPKP Sabah dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pelaksanaan projek berkenaan dilaksanakan secara telus dan mematuhi semua prosedur perolehan kerajaan melalui sistem ePerolehan.


Menurut kenyataan itu, projek SBST Sabah merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dikendalikan oleh LPKP Sabah, manakala pelantikan operator, Jaguh Bayu Sdn Bhd, dibuat menerusi proses tender terbuka yang melalui penilaian ketat oleh Jawatankuasa Pembuka, Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan serta Lembaga Perolehan yang sah.


“Penilaian spesifikasi dibuat tanpa merujuk kepada mana-mana jenama tertentu pada peringkat awal, dan keputusan akhir hanya dibuat selepas melalui proses tapisan yang rapi,” menurut kenyataan itu.


LPKP Sabah turut menolak dakwaan bahawa kerajaan menggunakan kenderaan berkualiti rendah bagi perkhidmatan tersebut.


Menurutnya, pemilihan bas jenis mini atau coaster dibuat berdasarkan kesesuaian infrastruktur dan keadaan laluan di sekitar Kota Kinabalu yang mempunyai jalan sempit serta kemudahan hentian bas sedia ada yang tidak sesuai untuk pengoperasian bas bersaiz panjang.


“Keputusan penggunaan bas mini atau coaster dibuat hasil sesi libat urus strategik antara LPKP Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).


“Bas jenis Golden Dragon yang disediakan operator memenuhi semua spesifikasi yang ditetapkan dalam tender, termasuk penggunaan enjin standard EURO 5, sistem penyaman udara penuh, kamera litar tertutup (CCTV), Sistem Kedudukan Global (GPS) serta kemudahan e-tiket tanpa tunai,” katanya.


Dalam aspek kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU), LPKP Sabah menegaskan hak kumpulan itu tidak pernah diketepikan dalam pelaksanaan projek berkenaan.


Katanya, operator diwajibkan menyediakan lapan bas jenis Yutong ZK6890HG yang dilengkapi kemudahan mesra OKU termasuk tanjakan kerusi roda bagi memenuhi keperluan pengguna.


“Apabila beroperasi sepenuhnya, sekurang-kurangnya sebuah bas mesra OKU akan ditempatkan di setiap laluan bagi memastikan akses dan mobiliti golongan tersebut sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.


Sementara itu, LPKP Sabah turut memperbetulkan persepsi berhubung peruntukan RM86.19 juta bagi pelaksanaan BAS.MY Kota Kinabalu yang didakwa sebagai kos pembelian 48 buah bas.


Menurutnya, jumlah itu sebenarnya merupakan nilai kontrak operasi selama lima tahun atau 60 bulan dan bukannya kos pembelian aset atau kenderaan.


“Nilai kontrak yang dimuktamadkan adalah RM86,188,786.20 dan digunakan sepenuhnya untuk membiayai operasi perkhidmatan BAS.MY sepanjang tempoh kontrak.


“Bayaran kepada operator dibuat berdasarkan kadar tetap RM3.74 bagi setiap kilometer perjalanan yang diselesaikan,” katanya.


LPKP Sabah menjelaskan perbezaan kos operasi antara negeri adalah perkara biasa kerana ia dipengaruhi faktor kekerapan perjalanan, jarak keseluruhan laluan serta keadaan geografi dan logistik setempat.


Menurut kenyataan itu, Kerajaan Persekutuan tidak akan berkompromi terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan pengangkutan awam dan pembayaran kepada operator tertakluk kepada pematuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.


Sekiranya operator gagal memenuhi KPI termasuk ketepatan jadual perjalanan dan masa operasi, tindakan tegas seperti denda serta pemotongan bayaran tuntutan akan dikenakan.


LPKP Sabah berharap penjelasan tersebut dapat merungkai kekeliruan yang timbul serta mengajak rakyat Sabah untuk bersama-sama menyokong transformasi pengangkutan awam darat demi manfaat masyarakat secara keseluruhan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page