Hari Terbuka Hab PMKS Pemangkin Pertumbuhan Usahawan Sabah
- nabalunews
- Sep 30
- 2 min read

30 September 2025
PENAMPANG: Penganjuran Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah 2025 diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor PMKS yang lebih dinamik di negeri ini, kata Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok.
Beliau berkata program bertemakan “Usahawan Sabah Onsoi” itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan usahawan, malah membuka akses lebih luas kepada bimbingan, pasaran serta kemudahan kewangan secara langsung.
“SME Corp sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) percaya pendekatan turun padang seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara agensi dan usahawan, malah memberi nilai tambah yang nyata kepada komuniti PMKS.

“Melalui interaksi secara langsung, para usahawan berpeluang mendapatkan maklumat yang tepat, bimbingan yang berkesan, serta membina jaringan strategik yang mampu memperluas capaian pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Perasmian Hari Terbuka Hab PMKS Sabah dan Sesi Ramah Mesra bersama Penerima BEEP oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di sini, hari ini.
Bernard berkata, Hari Terbuka Hab PMKS merupakan inisiatif bulanan agensi itu yang kini diperluas ke peringkat negeri termasuk Johor, Sarawak dan Terengganu sebagai usaha mendekati usahawan di akar umbi.
SME Corp, katanya komited untuk terus memperluas inisiatif itu di seluruh negara, dengan matlamat memastikan PMKS kekal mampan, berdaya saing dan bersedia menembusi pasaran global.
Dalam pada itu, beliau berkata Sabah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama menubuhkan Hab PMKS negeri menerusi pembukaan pejabat SME Corp Malaysia Negeri Sabah di Penampang pada Mei lalu.
“Penubuhan hab ini bukan sahaja mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih terancang dan efektif malah mendekatkan usahawan PMKS kepada akses pasaran dan peluang pembangunan yang lebih besar.
“Ianya sejajar dengan kedudukan strategik hab ini dan kepentingan Lebuhraya Pan Borneo sebagai nadi jaringan ekonomi dan perniagaan antara daerah,” ujarnya.
Hari Terbuka itu melibatkan pelbagai agensi di bawah KUSKOP, selain penyertaan Bank Rakyat dan SME Bank serta agensi lain termasuk HRD Corp, SIRIM dan MyIPO yang menawarkan rangkaian program khusus pembangunan PMKS.
Selain itu, sesi libat urus bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut diadakan sebagai ruang kepada usahawan menyuarakan pandangan, maklum balas serta cadangan penambahbaikan terhadap program sokongan PMKS yang dilaksanakan kementerian itu.


















Comments