Hari TVET Negara perkukuh peranan dalam pembangunan modal insan
- nabalunews
- Jun 2
- 1 min read

2 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari TVET Negara memainkan peranan penting dalam menonjolkan kemajuan positif ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan modal insan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan yang diadakan pada 2 Jun setiap tahun itu turut menjadi platform yang dapat menawarkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET dari pelbagai pihak.
“Ia merupakan manifestasi tekad dan komitmen kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, usaha tersebut selaras dengan kerangka Malaysia Madani yang mengangkat agenda TVET sebagai keutamaan.
“Ini termasuk peluasan akses pendidikan kepada pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia membina kerjaya melalui kemahiran.
“Dengan sokongan padu pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti, TVET akan kekal sebagai teras utama dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” akan belangsung selama tiga hari bermula 11 Jun ini di Melaka International Trade Centre (MITC).
Comments