- nabalunews
Hati-hati lakukan aktiviti dekat talian elektrik – SESB
21 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti berdekatan pepasangan elektrik.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, berkata apa-apa aktiviti yang dilakukan di bawah atau berdekatan tiang dan talian elektrik bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.
Menurut laporan Info X, Mohd Yusmanizam berkata antara aktiviti berisiko yang boleh mengundang terjadinya renjatan elektrik termasuk memancing di kolam atau tasik bawah talian, bermain layang-layang atau kapal terbang kawalan jauh berhampiran talian elektrik dan menggunakan tanah bawah talian elektrik untuk padang permainan, sukan atau pasar awam.
“Semua pencawang dan pepasangan elektrik adalah kawasan yang berisiko terkena renjatan elektrik dan apa juga aktiviti yang dilakukan boleh mengundang bahaya jika mengabaikan faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, aktiviti sedemikian boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arca (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi dan merosakkan harta benda, malah boleh meragut nyawa.
Katanya, SESB mempergiatkan program kesedaran awam mengenai keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah keselamatan yang boleh diambil melalui media sosial, akhbar dan radio.
“Sehubungan itu, SESB memohon jasa baik semua agar mendapatkan nasihat pegawai SESB mengenai jarak yang perlu dipatuhi untuk sebarang aktiviti yang ingin dilakukan berdekatan pepasangan elektrik milik SESB.
“SESB komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. Oleh itu SESB menggesa agar semua peka dan mematuhi garis panduan keselamatan apabila berada berdekatan pepasangan milik SESB,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menghubungi 15454, Whatsapp di talian 019-8525427 dan melalui aplikasi mySESB untuk membuat laporan atau aduan berkaitan tiang elektrik tumbang, talian dipenuhi pokok menjalar atau talian terputus.
Semalam, seorang peniaga buah di Kampung Polumpung, Malangkap, Kota Belud maut akibat terkena renjatan elektrik selepas khemahnya diterbangkan angin dan terkena kabel elektrik.
Mangsa berumur 67 tahun itu sempat dibawa ke Hospital Kota Belud oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
コメント