Hibiscus Petroleum Anjur Kempen Kesedaran Keselamatan Untuk Pelajar Sekolah
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

27 MEI 2025
KOTA BELUD: 500 pelajar daripada beberapa sekolah menengah di daerah ini berpeluang menyertai program kesedaran keselamatan, 'Let's Be Safe' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan, di sini, hari ini.
Syarikat minyak dan gas, Hibiscus Petroleum yang menganjurkan program itu dalam kenyataan berkata, program berkenaan bertujuan memupuk budaya keselamatan dalam kalangan pelajar tingkatan tiga daripada sembilan sekolah yang terlibat.
Katanya, program itu menampilkan demonstrasi interaktif dan ceramah informatif untuk membantu pelajar memahami aspek keselamatan diri, pencegahan kemalangan dan kesedaran risiko secara dalam talian dan luar talian.

"Pelajar turut mendengar ceramah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai keselamatan media sosial menyentuh isu buli siber, buli fizikal dan penipuan dalam talian.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menyampaikan ceramah mengenai keselamatan kebakaran dan persediaan menghadapi bencana alam khususnya banjir. Sesi kesedaran tentang penunggangan selamat turut diadakan.
"Kempen ini membawa mesej utama keselamatan ialah amalan seumur hidup dan kesedaran terhadap risiko di pelbagai persekitaran seperti di sekolah, rumah dan tempat awam," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) Sabah, Hibiscus Petroleum, Mohammad Hatta Mansor berkata, pihaknya menganjurkan kempen itu sebagai landasan, penyebaran mesej keselamatan menumpukan kepada isu dan ancaman keselamatan di rumah, sekolah, persekitaran awam dan alam maya.
"Saya menyeru agar semua pelajar yang kini bergelar 'duta keselamatan' selepas menyertai kempen ini terus mengamalkan tip keselamatan yang dipelajari dan menyebarkan kesedaran keselamatan kepada rakan dan ahli keluarga," katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr. Japran Haji Kusin dan Eksekutif Kanan Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum, Durie Rainer Fong.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Haji Raisin Saidin dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS, Charles Lawrence @ Muhammad Ariffin menekankan kepentingan inisiatif tersebut dalam memupuk pemikiran yang mengutamakan keselamatan dalam kalangan orang muda.
Katanya, ia seiring hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sentiasa memastikan murid sejahtera dan selamat dengan tiga fokus utama tahun ini iaitu Kesedaran Media Sosial, Kesedaran Keselemaran Menunggang Motorsikal dan Kesedaran Pencegahan Api dan Bencana Alam.
"Kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan dengan pihak swasta contoh yang baik menyaksikan pelbagai sektor boleh bekerjasama membentuk generasi lebih selamat dan berpengetahuan," katanya.

Program itu mendapat kerjasama JPNS melalui Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, PDRM dan Jabatan Bomba.
Sekolah yang terlibat, SMK Usukan, SMK Taun Gusi, SMK Taun Gusi II, SMK Arshad, SMK Narinang, SMK Tambulion, SMK Pekan, SMK Pekan II dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said.
Comments