Hilang Di Tuaran, Ditemui Di Kudat
- nabalunews
- Sep 5
- 1 min read

5 September 2025
TUARAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di Muara Sungai Kampung Serusup, di sini, ditemui meninggal dunia di perairan Kudat, hari ini.
Mangsa, Husaini Saidin, 34, yang hilang sejak 1 September lalu berjaya ditemui selepas lima hari operasi pencarian yang dilaksanakan pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, bilik kawalan BBP Tuaran dimaklumkan mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 5 petang tadi.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kudat dan telah disahkan oleh pihak keluarga mangsa.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 7.10 malam tadi,” katanya dalam kenaaan media, hari ini.
Terdahulu, mangsa dilaporkan ke luar memancing di kawasan sungai berkenaan pada kira-kira jam 4.30 pagi, 30 Ogos lalu.
Mangsa bagaimanapun disedari hilang oleh ahli keluarga selepas gagal dihubungi dan usaha mencari mangsa juga gagal ditemui.
Keluarga dan penduduk kampung yang cuba mencarinya hanya menemui bot mangsa terdampar di tebing muara sungai dalam keadaan rosak sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.


















Comments