Hilang kepercayaan kepimpinan PKR, John Ghani umum keluar parti
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hilang kepercayaan kepimpinan PKR, John Ghani umum keluar parti



12 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk John Ot Ghani mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu.


Beliau berkata, keputusan meninggalkan parti disebabkan tindakan Pakatan Harapan (PH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan tindakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggugurkan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah.


Beliau berkata, keputusan Anwar menandatangani MoU itu dilihat tidak memberi manfaat kepada PKR.


“Saya berpendapat, ia tidak memberi manfaat kepada parti dan tidak ada sejarah dalam sebuah parti pembangkang begitu ditakuti, kuat dan digeruni bila ambil alih kerajaan menandantangani MoU dengan kerajaan. Ini bermakna kita sebahagian daripada kerajaan.


“Sepatutnya Anwar harus menjelaskan perkara itu supaya rakyat tidak keliru. Undi merosot pada pilihan raya kecil di Melaka, Johor dan Sarawak sebelum ini kesan daripada MoU dengan kerajaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


John yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu sejak 1985 mengambil keputusan keluar parti itu berkuat kuasa 25 Julai lalu.


Beliau berkata, tindakan meninggalkan parti itu yang disertainya 16 tahun lalu kerana kecewa dengan tindakan Anwar menggugurkan Datuk Christina sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah dan melantik Datuk Sangkar Rasam bagi mengisi jawatan itu.


“Sebelum ini kita mengharapkan agar kedatangan Anwar ke Sabah untuk menyelesaikan masalah parti tetapi tidak, dia gugurkan Christina sebagai Pengerusi PKR Sabah dan melantik Sangkar sebagai pengerusi baharu,” katanya


John berkata, keputusan Anwar itu disifatkan sebagai memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan ahli parti terbabit, malah pelantikan Sangkar bakal membuatkan PKR hilang kerusi khususnya Parlimen Tawau dan Putatan.


“Christina setia dalam parti selama 20 tahun dan ahli parlimen serta ADUN. Jika ingin menukar pemimpin, bila-bila masa boleh dilakukan tetapi masanya sekarang tidak sesuai.


“Ini kerana kita bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang semakin dekat. Waktu ini seharusnya kita bersatu dan bekerjasama erat serta mengambil pengajaran apa yang berlaku di Semenanjung,” katanya.


John berkata, sebagai pemimpin beliau tidak senang dengan tindakan dan keputusan Anwar berhubung perkara terbabit dan mengambil keputusan meletak jawatan dalam parti.


Katanya lagi, tindakan Anwar itu juga bakal membuatkan sokongan ahli PKR dalam kalangan masyarakat Cina dan Kadazan Dusun Murut (KDM) akan terjejas.


bottom of page