Dr Yusof Dilantik Pengerusi Baharu Sabah Development Berhad
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

13 Januari 2026
KOTA KINABALU: Datuk Dr Yusof Yacob telah dilantik sebagai Pengerusi baharu Sabah Development Berhad (SDB), salah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Sabah di bawah Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan Negeri.
Beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad dan menggantikan Datuk Poon Ming Fung sebagai Pengerusi SDB.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin itu secara rasmi memulakan tugasnya hari ini di Pejabat SDB, Blok C Menara Kinabalu.
Beliau telah diberikan taklimat ringkas mengenai operasi dan hala tuju SDB yang turut dihadiri oleh beberapa ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan syarikat.
Dalam sesi taklimat tersebut, Datuk Dr Yusof merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan.
Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar untuk memastikan SDB terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik Kerajaan Negeri yang berjaya.
Menurutnya, pada peringkat awal, beliau akan memberi tumpuan untuk mendalami peranan dan hala tuju strategik SDB termasuk anak-anak syarikatnya, antaranya Jetama Sdn Bhd, agar dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat Sabah.














