Himpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 Tetap Diteruskan
- nabalunews
- Jun 21
- 1 min read

21 Jun 2025
KOTA KINABALU: Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang cuba dianjurkan kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) tetap diteruskan, hari ini.
Perhimpunan berkenaan yang disertai kira-kira 100 orang itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Hasil tinjauan, perhimpunan berkenaan dijalankan dengan mengadakan perarakan di sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Turut berada di lokasi pasukan polis yang dilihat berjaya mengawal keadaan dengan baik.
Peserta berhimpun dan memulakan perarakan dari Suria Sabah dengan melalui beberapa laluan utama di ibu negeri, sebelum berakhir di Lintasan Deasoka, dekat Jalan Gaya.
Meskipun hujan, peserta perhimpunan setia bergerak sambil menjerit 'hidup rakyat, tolak perasuah, bangkit rakyat Sabah dan mana air.

Peserta perhimpunan turut dilihat membawa plakad dan sepanduk tertulis 'Pemuda pemudi semua, marilah bangunlah bersatu semua, 'Mahasiswa melawan menteri ketakutan' dan Kenyang Makan Rasuah', 'Turun Jalan Lawan Rasuah', 'Sambil demo sambil tadah air'.

Kumpulan berkenaan antara lain menuntut tindakan perundangan terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), autonomi penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan tegas kepada perasuah serta gantung tugas kepada yang didakwa.

Turut disuarakan adalah bantahan terhadap pelantikan TYT Sabah serta gesaan untuk membuka semula kes rasuahnya.

Antara isu yang disuarakan termasuk masalah air yang berlaku di UMS dan isu rasuah membabitkan pemimpin negeri.
Comments