Hobi pelihara Ikan Laga kini jadi pendapatan sampingan belia Kadamaian

7 Jun 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
Hobi menternak Ikan Laga atau nama saintifiknya Betta Splendens semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 2021 kini bertukar menjadi antara sumber pendapatan sekumpulan belia di kawasan Kadamaian.
Selain dijadikan sebagai koleksi ikan hiasan di rumah, spesis ikan yang unik dan cantik ini juga boleh menjana pendapatan melalui pertandingan ikan paling cantik.
Bukan itu sahaja tetapi para peminat ikan hiasan menyatakan ia dapat memberi ketenangan dengan hanya memerhati akuarium yang berisi air, batu karang dan ikan berwarna-warni.

Bagi sekumpulan belia dari Kadamaian, hobi yang sama untuk memelihara ikan hiasan dan matlamat ingin melihat potensi industri ikan laga yang semakin berkembang di Sabah, antara sebab mereka menubuhkan Kelab Kadamaian Betta United (KBU).
Timbalan Presiden Kelab KBU, Joel Deukin, berkata kelab itu diwujudkan pada tahun 2021 semasa pandemik Covid-19.
“Semasa PKP banyak masa terluang di rumah, jadi kami gunakan masa itu pelihara ikan laga selain menanam bunga dan berkebun.
“Pada mulanya kami hanya sekadar suka-suka membeli dan pelihara ikan laga tetapi apabila melihat ia berpotensi untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan, maka kami menubuhkan Kadamaian Betta United.

“Kelab kami baru ‘setahun jagung’ jadi keahlian pun masih sedikit iaitu lebih kurang 20 orang dengan koleksi ikan melebihi 10 jenis,” katanya ketika ditemui Nabalu News, baru-baru ini.
Joel berkata, mereka menjual ikan laga secara online dan mempromosinya melalui media sosial Facebook dan Whatsapp.

“Ikan laga ini bukan setakat ikan hiasan tetapi dari sudut breeder, ikan laga adalah suatu seni dalam menghasilkan varian baharu.
“Dari segi pertandingan pula, ikan laga mempunyai spesifikasi tertentu mengikut jenis piawaian International Betta Standard (IBC) dan Malaysian Betta Standard (MBS) yang dinaungi oleh Malaysia Betta Fish Association (MBFA). Piawaian ini diguna pakai dalam pertandingan di Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, kebanyakan peminat ikan laga memelihara ikan laga bukan sekadar hiasan di rumah tetapi minat menyertai pertandingan itu.

“Ikan laga juga adalah satu prospek positif untuk menjana pendapatan bagi mereka yang serius dalam hobi ini,” katanya dan menambah harga ditentukan berdasarkan beberapa keunikan dan ciri-ciri utama ikan laga berkenaan termasuklah bentuk badan, saiz bukaan ekor atau sirip, kombinasi warna serta ‘janggutnya’.
Buat julung kalinya Kelab KBU menyertai pameran Ikan Laga semasa Program Santai Raya-Kaamatan anjuran Pemuda dan Generasi Muda (GEM) UPKO Bahagian Kota Belud, di perkarangan Pusat Khidmat Adun Kadamaian, Kota Belud, baru-baru ini.
Sementara itu menurut seorang pengemar ikan laga, dia mulai pelihara ikan hiasan itu bermula apabila rakannya menghadiakan dua ekor ikan laga jenis halfmoon.
“Saya selalu mendengar kawan-kawan cerita pasal Betta tapi saya tidak minat. Selepas rakan saya membeli ikan laga untuk saya pelihara, saya mulai meminati ikan ini kerana warnanya yang cantik dan bentuk badannya yang unik,” katanya.
Commenti