Hormati dan berikan hak yang sepatutnya kepada rakyat Sabah
top of page
  • nabalunews

Hormati dan berikan hak yang sepatutnya kepada rakyat Sabah


Setiausaha Agung UPKO, Nelson W. Angang.

26 Mac 2022


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika menjawab soalan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di Parlimen bahawa Sabah berhak untuk mendapatkan sebanyak 40% hasil bersih seperti yang diperuntukkan di bawah perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan di bawah Seksyen 2(1) Bahagian IV, Jadial Kesepuluh tidak lagi terpakai adalah tidak tepat dan mengelirukan apabila peruntukan khusus tersebut masih dalam Perlembagaan Persekutuan.


Perintah kajian semula yang dimaksudkan oleh menteri kewangan adalah bertujuan untuk bagi tahun 1969-1973 sebagai jumlah yang bersamaan dengan 40% hasil bersih yang dikutip dari Sabah pada masa itu. Jelas sekali hasrat kajian semula yang sepatutnya dilakukan pada tahun 1974 adalah untuk mempertimbangkan peningkatan hasil bersih yang dikutip di Sabah pada tahun-tahun berikutnya.


Nilai hasil kutipan bagi negeri Sabah sudah pasti akan meningkat pada tahun-tahun berikutnya. Untuk Sabah mengetahui berapakah jumlah sebenar yang mereka layak terima daripada jumlah 40% hasil bersih ini, kerajaan persekutuan mesti telus dalam memberikan jumlah sebenar hasil bersih yang telah mereka kumpulkan dan kutip dari Sabah untuk setiap tahun sejak 1974. Barulah kerajaan negeri Sabah akan berada dalam kedudukan untuk benar-benar memahami dan menghargai jumlah tepat yang perlu dibayar kepada Sabah seperti yang dimaksudkan oleh artikel 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh dalam Perlembagaan Persekutuan.


Tanpa maklumat ini Sabah akan sentiasa berada dalam kedudukan yang tempang diatas meja rundingan dengan kerajaan Persekutuan. Kerajaan persekutuan juga tidak boleh menggunakan jumlah terakhir RM26.7 juta dalam perintah semakan 1969 sebagai mempertimbangan nilai yang sama jumlah 40% hasil bersih yang berhak kepada kepada Sabah bagi tahun 1974 sehingga sekarang. Itu adalah tidak adil dan tidak masuk akal sama sekali. Jika itu adalah angka yang kerajaan persekutuan berikan di atas meja rundingan pihak kerajaan negeri Sabah perlu menolak cadangan ini.


Sebelum ada mana-mana pemimpin negeri yang mahu menuding jari dan mempersoalkan mengapa kerajaan-kerajaan terdahulu tidak melakukan apa-apa untuk menangani perkara ini, saya katakan kepada mereka ini, bahawa anda tidak signifikan dalam menyumbang apa-apa usaha untuk mencapai matlamat yang sebenar untuk mendapatkan kembali hak kita yang sepatutnya dalam perkara ini. Jangan hanya menyalak pada pokok yang salah dan mengelak daripada isu sebenar di hadapan anda.


Isu dan peluang untuk kita mencari penyelesaian kepada perkara ini kini berada di hadapan kita. Para Pemimpin kita dilengkapi dengan semua maklumat dan pengetahuan berkenaan dengan perkara ini dan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkan kelompangan ini.


Rakyat Sabah ingin tahu bagaimana kita bergerak ke hadapan daripada ini dan bagaimana kita menangani masalah ini. Ia kini terletak pada bahu kerajaan Negeri semasa untuk menuntut apa yang menjadi hak kita.


Rakyat Sabah berhak mendapat 40% daripada hasil bersih yang dikutip sejak tahun 1974, hormati hak rakyat Sabah ini dan berikan nilai sebenar kepada mereka tidak lebih dan tidak kurang daripada yang sepatutnya. Jangan hanya disebabkan anda bergantung pada perkataan teknikal dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk menafikan dan sekaligus tidak tidak menghormati hak rakyat Sabah.


Telah dilaporkan juga bahawa Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata formula semakan yang dibuat pada tahun 1969 adalah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bukanlah cubaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dalam mempertahankan kerajaan Persekutuan. Dengan hormatnya, Dr Jeffrey sepatutnya mengambil pendirian dalam mempertahankan dan mempersoalkan bagi pihak kerajaan negeri Sabah mengapa tiada semakan dibuat sejak 1974 dan mengkritik pendirian yang diambil oleh kerajaan persekutuan bahawa hak 40% hasil bersih kepada Sabah tidak lagi terpakai.


Bagaimanakah Dr. Jeffrey mempertahankan kedudukan bahawa Sabah berhak mendapat 40% hasil bersih sejak penubuhan Malaysia apabila beliau juga mempertahankan pendirian Menteri Kewangan persekutuan bahawa hak sabah untuk menuntu 40% hasil bersih ini sudah tidak terpakai?


Kerajaan negeri Sabah mesti berani dan tegas dalam mendapatkan kembali hak kita dan jika rundingan itu tidak memberikan penyelesaian yang adil kepada Sabah, maka kerajaan negeri perlu bersedia untuk membawa perkara ini ke mahkamah seperti yang diperuntukkan di bawah MA63. Lebih-lebih lagi dengan pindaan perkara 1(2) dan perkara 160 Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini yang telah memberikan kuasa undang-undang kepada semangat dan hasrat MA63.


Adalah menjadi kewajipan kerajaan negeri untuk melindungi Sabah dan memperjuangkan hak rakyatnya serta memastikan kita telah menggunakan segala cara yang sah untuk menegakkan hak kita. Jika anda tidak bersedia untuk mendapatkan hak kita walaupun perlu membawa perkara ini ke mahkamah, maka anda tidak boleh mendakwa bahawa anda betul-betul ikhlas untuk memperjuangkan kepentingan semua rakyat Sabah. Sudah tiba masanya kita perlu bertegas dalam perkara ini.


Nelson W. Angang

Setiausaha Agung UPKO

bottom of page