Hormati, raikan kepelbagaian demi Malaysia yang aman dan bersatu – Menteri Perpaduan
- nabalunews
- 56 minutes ago
- 1 min read

16 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini perlu terus menghormati serta meraikan kepelbagaian demi masa depan negara yang aman, bersatu dan penuh harapan, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.
Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua yang akan menyambutnya esok, beliau berkata Malaysia berdiri teguh bukan kerana keseragaman, tetapi kerana rakyatnya belajar hidup dalam perbezaan dengan penuh rasa hormat.
“Kita berbeza budaya, bahasa dan kepercayaan, namun kita tetap satu keluarga besar Malaysia.
“Sempena Tahun Baharu Cina ini, marilah kita perbaharui komitmen sebagai rakyat Malaysia untuk faham, hormat, terima dan meraikan kepelbagaian demi masa depan negara yang aman, bersatu dan penuh harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Aaron, sambutan perayaan itu bukan sekadar menandakan peralihan tahun baharu, sebaliknya menjadi waktu terbaik untuk bersyukur dan memperbaharui harapan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Ujarnya, Tahun Kuda yang diraikan tahun ini membawa simbol kekuatan, ketekunan dan kesetiaan, iaitu nilai-nilai yang turut menjadi asas pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu serta bermaruah.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat di negara ini untuk menggunakan media sosial dengan empati, berhemah dam beradab.
“Dalam dunia hari ini, media sosial menjadi medan utama pertemuan rakyat dan setiap perkongsian ada kesan, dimana jari kita mampu menyembuh, atau merobek hubungan sesama rakyat.
“Marilah kita memilih untuk bercakap dengan empati, berkongsi dengan kebijaksanaan dan berbeza pendapat dengan adab kerana budaya hormat-menghormati inilah asas keharmonian,” katanya.














