- nabalunews
HOSPITAL MEDAN TAWAU DIJADUAL OPERASI 20 OKT
15 OKTOBER 2020
TAWAU: Hospital Medan di Tawau yang diaktifkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijadual beroperasi pada 20 Okt ini.
Komander Hospital Medan Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad berkata seramai 36 petugas kesihatan ATM terdiri daripada empat pegawai serta 32 anggota lain-lain pangkat tiba di Tawau pada 3 petang tadi menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400.
"Hospital Medan menerima ketibaan pertama pasukan perubatan daripada Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu serta elemen sokongan perubatan dari Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.
"Kehadiran petugas kesihatan Kor Kesihatan Diraja (KKD) dari Kuching dan Kota Kinabalu ini adalah bagi membantu Hospital Tawau dalam menangani pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Dr Shamsul Bahary berkata Hospital Medan itu akan menempatkan kompleks rawatan pesakit dalaman dengan kapasiti 100 katil.
"Hospital ini mampu menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes-kes bukan COVID 19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam berbagai disiplin seperti pembedahan, ortopedik, perubatan, kanak-kanak dan wanita," katanya lagi.
Menurut beliau, keupayaan hospital itu juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan unit rawatan separa rapi (HDU).
Dr Shamsul Bahary yang mewakili Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) mengucapkan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang menyokong perlaksanaan pengoperasian Hospital Medan berkenaan. – Bernama
Comments