Hospital Tawau beri anugerah kepada penderma darah

26 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seramai 19 penderma darah di daerah ini terpilih menerima lima kategori anugerah pada Majlis Apresiasi Penderma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia tahun 2024 peringkat Hospital Tawau, hari ini.
Pengarah Hospital Tawau, Dr. Norlimah Arsad berkata, anugerah itu merupakan tanda penghargaan pihaknya terhadap jasa para penderma darah yang berkorban masa dan tenaga untuk menderma darah demi membantu pesakit yang memerlukan.
Katanya, lima kategori anugerah dipilih kali ini adalah Penderma Platelet Aferesis seramai tiga penerima, penderma darah lebih daripada 60 kali (dua penerima) dan penderma Rhesus (D) Negatif, seramai empat orang.
Anugerah lain, Penderma Paling Kerap Kategori Lelaki yang disampaikan kepada lapan penerima dan Penderma Paling Kerap Kategori Perempuan (dua penerima).
“Kita memberikan anugerah ini kepada para penderma darah terpilih yang sentiasa ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,”katanya.
Dr. Norlimah berkata, majlis itu dianjurkan Unit Perubatan Transfusi Hospital Tawau sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut pada 14 Jun, setiap tahun.
Menurutnya lagi, pihaknya dengan kerjasama Parlimen Tawau dan agensi-agensi lain berjaya mengumpul 324 beg darah sempena program derma darah besar-besaran sempena sambutan itu, pada 14 Julai lalu.
“Sesungguhnya program seperti ini sangat membantu dalam meningkatkan stok darah hospital dalam usaha memastikan pesakit-pesakit di Hospital Tawau dan Kluster Tawau dapat menerima rawatan transfusi darah yang terbaik dan secukupnya,”katanya.
Para penerima anugerah pada majlis itu terdiri daripada Mohd Abdullah Madaali, Mohd Ezzad Wasnin dan Jeffry Lawrence (Penderma Platelet Aferesis); Abd Jabbar Bacho dan Tai Kui Shim (Penderma Darah lebih daripada 60 kali); Dr. Kesavaa Vasuthaven, Wong Wui Yap, Dr. Kavivarma Raj A/L Rajendran dan Mohd Hanif Ailey (Penderma Rhesus (D) Negatif).
Chew Wai Ming, Pang Mai Hao, Teo Lip Teck, Mohd Sulaiman Ahmad, Pang Mai Huang, Chang Miao Sen, Wong Shui Xiong dan Sahap Lorong (Penderma Paling Kerap Kategori Lelaki); dan Lau Soo Lee dan Nur Fahahiyah Maidin (Penderma Paling Kerap Kategori Perempuan.















Comments