top of page

Hubungan Persekutuan-negeri Perlu Bersifat 'inter-governmental' Dan Bukannya 'intra-party'

  • nabalunews
  • Jun 22, 2025
  • 2 min read

22 Jun 2025


KOTA KINABALU: Model politik yang dibawa oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah menolak kerjasama dengan parti nasional, sebaliknya meletakkan landasan supaya parti lokal perlu menjadi teras kepada Kerajaan Negeri.


Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, agenda itu penting bagi memastikan bentuk hubungan persekutuan dan negeri adalah bersifat antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya bersifat intra-parti (intra-party).


“Ini kerana kita mahukan sebarang agenda dan isu yang melibatkan kepentingan negeri dirunding dan diselesaikan melalui forum di antara dua peringkat kerajaan iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Sekiranya parti yang sama iaitu parti nasional menjadi teras kepada kedua-dua peringkat kerajaan, kecenderungan berlaku isu yang melibatkan kepentingan negeri akan dirundingkan dalam ruang lingkup dalaman parti terlebih dahulu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Darau 2025, Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).


Armizan berkata, sekiranya agenda dan kepentingan negeri diputuskan secara intra-parti, sudah pastinya risiko yang berlaku adalah kepentingan parti akan diutamakan membelakangi kepentingan negeri.


“Lebih dikhuatiri ada indoktrinasi sesetengah parti politik nasional yang meletakkan kesetiaan kepada parti mengatasi segala- galanya, tanpa kompromi.


“Ada ketikanya isu negeri akan disenyapkan kerana pendirian parti nasional adalah mengutamakan kepentingan nasional. Contohnya, inilah yang telah berlaku dalam isu MA63 sejak berpuluh tahun,” katanya.


Menurutnya, kita melihat ada perubahan komitmen signifikan persekutuan berhubung MA63 di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.


Bagaimnapun katanya, negeri Sabah tidak boleh bergantung kepada cara dan sikap kepimpinan individu, sebaliknya memerlukan struktur yang kondusif.


“Komitmen persekutuan terhadap MA63 ini boleh berubah dengan peralihan pimpinan Kerajaan Persekutuan. Namun, sekiranya kita ada struktur yang menjamin bahawa hubungan persekutuan dan negeri akan bersifat inter- governmental, dan bukannya intra-parti, kepentingan negeri akan sentiasa mendapat keutamaan.


“Kita tidak menolak kepentingan nasional perlu dipelihara, tetapi biarlah perjuangan itu diterajui oleh Kerajaan Persekutuan.


“Kerajaan Negeri perlu berfungsi dengan meletakkan kepentingan negeri pada unjuran paling teratas. Inilah falsafah di sebalik teras pertama perjuangan GRS iaitu Sabah First yang bermaksud agenda negeri diutamakan,”katanya.


Sementara itu, Armizan mengingatkan GRS ingin menjadi teras kepada kerajaan di peringkat negeri dan pilihan raya yang bakal kita hadapi adalah untuk memilih Kerajaan Negeri.


“Kita akan sokong parti nasional menjadi teras kepada Kerajaan Persekutuan, dan biarlah parti lokal menjadi teras kepada Kerajaan Negeri.


“Kita tidak menolak dan mengalu-alukan kerjasama dengan parti nasional dalam pilihan raya negeri selagi mana mereka menerima bahawa parti lokal perlu diberi ruang menjadi teras Kerajaan Negeri dengan bertanding lebih banyak kerusi.


“Kamu (parti nasional) pimpinlah Kerajaan Persekutuan dan kita akan sokong dan beri kerjasama, dan biar parti lokal memimpin Kerajaan Negeri. Model inilah yang sedia memaknai bentuk kerjasama dalam Kerajaan GRS PH Plus pada hari ini,” katanya.


Sehubungan itu, Armizan menegaskan, GRS akan terus bekerjasama dengan parti nasional sebagai sebahagian daripad komponen yang akan bersama membentuk Kerajaan Persekutuan dan memilih seorang Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin parti nasional.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page