top of page

HUMS Bakal Jadi Hospital Pertama Tawar Perkhidmatan Hippotherapy di Borneo

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

Malehah (depan dua kanan) dan Mohamed Yazir (depan tepi kanan) menyempurnakan gimik perasmian Hari Terapi Cara Kerja Sedunia peringkat Negeri Sabah 2025.
Malehah (depan dua kanan) dan Mohamed Yazir (depan tepi kanan) menyempurnakan gimik perasmian Hari Terapi Cara Kerja Sedunia peringkat Negeri Sabah 2025.

11 November 2025


KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi hospital pertama di Borneo yang menawarkan perkhidmatan Hippotherapy secara klinikal kepada kanak-kanak berkeperluan khas.


Pengarah HUMS, Profesor Madya Dr. Hajah Malehah Datuk Mohd Noh, berkata perkhidmatan itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara HUMS, Happy Farms Hippotherapy Malaysia dan Nautica Stable.


“Hippotherapy bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi juga berperanan membantu memulihkan fungsi dan keyakinan diri pesakit melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan.

Pengenalan Aktiviti Terapi Berkuda kepada kanak-kanak
Pengenalan Aktiviti Terapi Berkuda kepada kanak-kanak

“HUMS berhasrat menjadi hospital pertama di Borneo yang menyediakan rawatan ini secara rasmi,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia (World Occupational Therapy Day) Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Aktiviti, Pusat Minda Lestari (PML), di sini, pada Isnin.


Dr. Hajah Malehah berkata, Hippotherapy ialah kaedah terapi menggunakan pergerakan kuda sebagai intervensi rawatan bagi membantu meningkatkan keseimbangan, kawalan postur, kekuatan otot teras serta kemahiran deria dan komunikasi pesakit.


“Terapi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara rawatan berkesan bagi individu yang mengalami cerebral palsy, autisme, sindrom down, kelewatan perkembangan dan gangguan neurologi lain.


“Langkah HUMS memperkenalkan perkhidmatan Hippotherapy ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh bidang kesihatan dan pemulihan di Sabah, sekali gus memberi harapan baharu kepada kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh Borneo,” jelasnya.


Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr. Mohamed Yazir Adam Mohd Husin mewakili Pengarah JKNS, Dr. William Gotulis.


Dalam ucapannya beliau memaklumkan bidang terapi cara kerja memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.


“Saya amat menghargai usaha kolaboratif antara HUMS, JKNS, PML dan Nautica Stable dalam memperkenalkan Hippotherapy di negeri ini.


“Ia bukan sahaja membuka peluang rawatan baharu, malah memperkukuh bidang terapi cara kerja di Sabah.


“Saya berharap agar lebih banyak integrasi, penyelidikan dan inovasi dapat dijalankan bagi memperkukuh bidang terapi cara kerja di negeri ini,” katanya.


Sementara itu, seorang Juruterapi Cara Kerja HUMS, Nurirdiyana Idros menjelaskan bahawa pemilihan kuda dalam terapi ini berdasarkan nilai terapeutik yang tinggi kerana pergerakannya hampir menyerupai manusia.


“Pergerakan kuda menggantikan fungsi kaki manusia. Ia membantu pesakit, terutamanya yang mengalami gangguan koordinasi atau cerebral palsy, untuk melatih otot teras dan meningkatkan keseimbangan tubuh,” ujarnyanya.


Beliau yang merupakan juruterapi Hippotherapy turut memaklumkan bahawa terapi pergerakan kuda sudah lama diamalkan di luar negara dan diperakui keberkesanannya.


“Malaysia mungkin masih baharu memperkenalkan terapi ini, namun langkah HUMS akan menjadi titik tolak penting dalam bidang pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas,” ujarnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page