PRU DU Sabah: CAAM Umum Larangan Terbang Dron Bermula Esok
- nabalunews
- Nov 12
- 1 min read

12 November 2025
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan larangan penerbangan sistem kapal udara tanpa pemandu (UAS) atau dron di seluruh negeri bermula 13 hingga 30 November ini.
Larangan berkenaan bersempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
CAAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, larangan tersebut dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan ruang udara sepanjang tempoh pilihan raya.

“Ia juga mengelakkan berlakunya sebarang risiko keselamatan kepada orang awam, calon dan petugas yang terlibat dalam pilihan raya berkenaan,” menurut kenyataan itu.
CAAM turut mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan termasuk operasi dron tanpa kebenaran boleh mengundang risiko keselamatan serta bahaya kepada orang awam atau harta benda.
Jelasnya, aktiviti tersebut tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98 serta Peraturan 140 hingga 144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit UAS CAAM melalui e-mel di uas@caam.gov.my atau melayari laman sesawang rasmi www.caam.gov.my.


















Comments