top of page

Hutang isi rumah masih terkawal, 84.3 peratus daripada KDNK

  • nabalunews
  • Sep 9, 2025
  • 2 min read

9 September 2025


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menyifatkan hutang isi rumah di Malaysia sebanyak RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga akhir Mac lalu sebagai masih terkawal.


Beliau berkata, kedudukan hutang isi rumah perlu dilihat secara holistik khususnya dengan mengambil kira aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar iaitu RM3.44 trilion bagi tempoh sama.


Katanya, secara agregat, aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali, sekali gus menyediakan penampan kewangan yang kukuh kepada isi rumah.


“Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar untuk memastikan peminjaman perkhidmatan kredit yang berhemah.


“Langkah ini penting dalam menangani risiko hutang melebihi kemampuan serta meningkatkan perlindungan pengguna bagi memastikan ia tidak menimbulkan kesan negatif kepada daya tahan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara,” katanya di Dewan Negara hari ini.


Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad berhubung usaha kerajaan mengawal selia perkhidmatan kredit, termasuk penawaran kredit secara dalam talian bagi membendung hutang isi rumah negara yang semakin meningkat.


Lim berkata, pinjaman-pinjaman yang diluluskan oleh institusi kewangan termasuk bank digital tertakluk kepada Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang diterbitkan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2012.


“Nisbah khidmat hutang (DSR) bagi isi rumah kekal dalam lingkungan paras hemat dengan median DSR pinjaman terkumpul pada paras 34 peratus, manakala median DSR pinjaman baharu diluluskan adalah 41 peratus pada tahun 2024.


“Kedudukan DSR dalam lingkungan paras hemat ini menjadi penampan pendapatan yang mencukupi bagi memenuhi perbelanjaan asas dan memastikan bakal peminjam mampu membayar balik pinjaman,” katanya.


Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan mengambil maklum trend penawaran kredit secara dalam talian termasuk penggunaan Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) yang semakin meningkat.


Justeru katanya, Rang Undang-undang Kredit Pengguna (RUUKP) yang diluluskan baru-baru ini akan mempertingkatkan perlindungan kepada pengguna kredit dengan mengawal selia penyedia kredit bukan bank serta penyedia perkhidmatan kredit yang ketika ini tidak dikawal selia di Malaysia.


“Kerajaan sentiasa komited melaksanakan pelbagai usaha berterusan untuk membantu pengguna kredit yang menghadapi kesulitan kewangan, termasuk melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).


“AKPK telah berjaya membantu lebih 64,000 peminjam menyelesaikan pinjaman mereka sepenuhnya melalui program pengurusan kredit, manakala hampir 270,000 peserta masih aktif meneruskan perjalanan pemulihan kewangan mereka dalam program ini,” ujarnya.


Selain itu katanya, kerajaan juga akan terus berusaha meningkatkan tahap celik kewangan rakyat terhadap kepentingan pengurusan kewangan berhemat menerusi inisiatif Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page