• Wartawan Nabalu News

Ibu bapa dinasihat daftar anak terima vaksin Covid



15 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 145 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan bagi pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak di Sabah.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ia merangkumi 109 Klinik Kesihatan, 22 buah hospital, 18 klinik swasta dan 4 PPV awam, serta PPV Offsite.


“Temujanji vaksinasi boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera, atau secara ‘walk-in’ di PPV yang berdekatan.


“Ibu bapa dinasihatkan untuk mengambil peluang ini dengan mendaftar dan mengizinkan anak mereka menerima vaksin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Program imunisasi COVID19 kanak-kanak (PICKids) peringkat negeri Sabah dilancarkan Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor, di Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, hari ini.


Ini selaras dengan Program PICKids peringkat Kebangsaan yang mula dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 3 Februari lalu di seluruh negara. Ia adalah perluasan pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak khususnya yang berusia 5 hingga bawah 12 tahun.


Masidi berkata, di peringkat negeri Sabah, pemberian vaksin ini telah dimulakan pada 3 Februari lalu.


“Sehingga 14 Februari, seramai 9,686 kanak-kanak telah diberi suntikan dos pertama. Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak kini diperluaskan ke seluruh Sabah.


“Vaksin Comirnaty formulari khas untuk kanak-kanak ini telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia adalah selamat dan mempunyai efikasi melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk COVID-19.


“Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama,” katanya.


Beliau berkata, pemberian vaksin ini adalah secara sukarela dan ibu bapa atau penjaga perlu memberi kebenaran bertulis bagi melayakkan anak mereka mendapat vaksinasi Covid-19.


“Ia juga diberikan secara percuma kepada semua kanak-kanak yang menetap di Sabah tanpa mengira status kewarganegaraan,” katanya.