Ibu Bapa disaran buat aduan jika sekolah anjur aktiviti luar meskipun cuaca panas – Fadhlina
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ibu Bapa disaran buat aduan jika sekolah anjur aktiviti luar meskipun cuaca panas – Fadhlina



17 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SEREMBAN: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggalakkan ibu bapa membuat aduan jika ada sekolah yang menganjurkan program atau aktiviti luar bilik darjah meskipun cuaca melebihi 35 darjah Celsius di kawasan terbabit.


"Sekiranya ada aduan, saya mohon dipanjangkan kepada SISPAA, kita akan ambil tindakan tapi yang penting aduan itu perlu dibuat secara rasmi supaya kita boleh siasat sepenuhnya sama ada ia benar-benar berasas atau tidak."


"Bagaimanapun, belum ada aduan diterima pihak kami mengenai perkara itu setakat ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kem Generasi MADANI (GenMADANI) Pemimpin Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Peringkat Kebangsaan.


Fadhlina juga menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan berkaitan cuaca panas yang perlu dipatuhi oleh semua pihak sepanjang masa.


"Saya tegaskan sekali lagi semua garis panduan itu perlu dipatuhi, pada masa sama kita rujuk juga Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa untuk kita dapatkan pedoman serta pandangan berkaitan isu cuaca panas ini," katanya.


KPM sebelum ini menetapkan garis panduan berkaitan cuaca panas termasuk tiada sebarang aktiviti luar bilik darjah dilakukan apabila suhu mencecah 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.



bottom of page