Ibu mahu jenazah adik di Korea Selatan dibawa pulang ke Sabah
26 November 2024
KOTA KINABALU: Ahli keluarga seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat masalah kesihatan di Korea Selatan memohon ihsan orang ramai untuk membantu menampung kos membawa pulang jenazahnya ke Kinarut, Sabah yang dianggarkan menelan belanja RM40,000.
Wakil keluarga, Normah Datu Harun, 36, dari Kampung Suangon, Kinarut Laut, dekat sini, berkata keluarganya memohon bantuan dana berkenaan kerana sukar untuk menyediakan jumlah sebanyak itu dalam masa terdekat, lapor Info X.
Katanya, jumlah itu diperlukan untuk membawa pulang jenazah kakaknya, Hanalin Datu Harun yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Korea Selatan pada 24 November lalu.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak RM10,000 sudah dikumpulkan hasil sumbangan sahabat arwah kakaknya yang berada di Korea Selatan, menjadikan baki yang diperlukan ketika ini sebanyak RM30,000 lagi.
“Saya Normah Binti Datu Harun yang beralamat di kampung Suangon, Kinarut Laut, Papar, Sabah adalah adik kepada jenazah arwah HANALIN BINTI DATU HARUN.
“Ingin memohon bantuan kewangan bagi tujuan seperti yang telah dinyatakan di atas. Anggaran kos biaya penghantaran jenazah dari Korea adalah dalam RM40,000.
“Untuk makluman, jumlah terkumpul sudah ada sebanyak RM10,000 atas ihsan sahabat-sahabat yang ada di Korea. Kami masih kekurangan duit biaya dalam RM30,000 lagi untuk kami membawa pulang jenazah balik ke Sabah.
“Oleh itu saya bagi pihak keluarga amat memerlukan bantuan dan segala keprihatinan anda amatlah saya hargai dan ucapkan ribuan terima kasih,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, arwah kakaknya pergi ke Korea Selatan untuk bekerja sejak beberapa bulan lalu sebelum dilaporkan jatuh sakit.
Katanya, jenazah arwah kakaknya dijadual menjalani bedah siasat di sebuah hospital di negara itu pada hari ini bagi mengetahui punca kematian.
Selepas itu, katanya arwah akan dibawa pulang ke kampungnya di Kinarut, dekat sini untuk dikebumikan.
Normah berkata, sumbangan orang ramai boleh disalurkan melalui akaun CIMB Bank atas nama beliau, Normah Binti Datu Harun yang bernombor 763 697 7293.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Normah di talian 016-6082363 atau 010-98472112.
Comments