Identiti negara berasaskan kemajmukan rakyat mesti dipertahankan - Ewon
1 Februari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TANJUNG MALIM: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan identiti negara yang berasaskan kepada kemajmukan rakyat mesti dihormati, diperkasa dan dipertahankan.
"Negara Malaysia selama ini dikenali sebagai negara berbilang kaum, agama, bahasa, budaya dan adat resam. Kemajmukan rakyat ini seharusnya menjadi kekuatan negara dan mesti dipertahankan bagi mengelak kita terperangkap dengan politik identiti.
"Justeru, peranan institusi pengajian seperti kampus universiti sangat besar terutama menyediakan persekitaran ke arah rasa hormat, toleransi dan semangat kerjasama terutama di kalangan mahasiswanya. Kita bukan hanya mahu mengeluarkan graduan yang berkualiti tetapi juga graduan yang berupaya menjadikan kemajmukan rakyat sebagai kekuatan dalam membina negara ini," katanya.
Ewon menyatakan demikian semasa berucap di majlis menandatantani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini, hari ini.
"UPSI mempunyai kekuatan tersendiri kerana daripada sekitar 30,000 mahasiswa di sini, sejumlah sekitar 7,000 orang mahasiswanya adalah dari Sabah dan Sarawak. Ini boleh membentuk pembudayaan semangat saling menghormati, bertoleransi dan bekerjasama di kalangan mahasiswa.
"Saya akan terus mendukung inisiatif yang bersifat memperkasa dan memperdayakan kemajmukan rakyat negara kita termasuk penganjuran program-program di kampus-kampus pengajian dan institusi pendidikan lain.
"MoU di antara UPSI dan YBR hari ini juga merupakan satu pengiktirafan oleh pimpinan kerajaan dan agensi ke atas kepentingan bahasa etnik dan boleh memperkasakan sense of belonging rakyat pelbagai kaum di negara ini. Dengan demikian semangat patriotik oleh komuniti etnik menebal kerana mereka dihargai dan diperkasakan oleh kerajaan," katanya.
Komentarze