IDN: Langkah penting untuk memudahkan urusan kerajaan secara digital
top of page
  • Wartawan Nabalu News

IDN: Langkah penting untuk memudahkan urusan kerajaan secara digital

5 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata Identiti Digital Nasional (IDN) adalah langkah penting untuk memudahkan urusan kerajaan secara digital.


Beliau berkata IDN adalah berbeza dengan Kad Pengenalan yang hanya mengenal pasti dan mengesahkan diri secara fizikal.


"Selaras dengan usaha kerajaan agar sebahagian besar khidmat dan urusan kerajaan didigitalkan, tanpa satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital yang unik bagi setiap warganegara, kita perlu membuka akaun bagi setiap portal kerajaan," katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook beliau hari ini.


Beliau berkata ini akan mengatasi masalah sistem-sistem kerajaan yang tidak bersepadu dan tidak berhubung dengan satu sama lain, yang menyebabkan pengguna perlu membuka akaun bagi setiap portal kerajaan dan mengisi maklumat yang sama berulang-ulang kali.


"Antara usaha terkini ialah memperkenalkan govtech (khidmat awam berteknologi tinggi) secara berperingkat dalam khidmat awam.


"Seperti mana kita biasa menggunakan aplikasi digital untuk banyak urusan harian, hasratnya berurusan dengan kerajaan pun akan menjadi mudah seperti menggunakan aplikasi digital lain," katanya.


Selain itu, Pangkalan Data Utama (PADU) turut dibangunkan bagi mengumpulkan semua maklumat setiap warganegara dari pelbagai pangkalan data kerajaan ke dalam satu datalake.


Beliau berkata ini bermakna pengguna tidak perlu mengisi pelbagai maklumat berkali-kali untuk berurusan dengan kerajaan.


Dalam pada itu, Rafizi juga mengumumkan kertas yang menggariskan konsep dan pelaksanaan govtech secara berfasa ini akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) minggu depan.


Beliau berharap mulai 2024, kepuasan pengguna apabila menggunakan aplikasi urusan kerajaan yang lebih fokus kepada UI/UX/CX akan meningkat ketara.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page