top of page

IJN perluas perkhidmatan ke Sabah, perkukuh akses rawatan kardiovaskular

  • nabalunews
  • Apr 7
  • 2 min read

6 April 2026


KOTA KINABALU: Institut Jantung Negara (IJN) memperluaskan perkhidmatan ke Sabah bagi memperkukuh akses rawatan kardiovaskular, sejajar usaha meningkatkan keupayaan sistem kesihatan negeri ini.


Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia merekodkan lebih 17,000 kematian akibat penyakit jantung pada 2024, sekali gus menuntut sistem penjagaan kesihatan yang lebih responsif, inklusif dan bersepadu bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit.


Menurutnya, kerjasama strategik antara IJN dan Kumpulan Yayasan Sabah melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) merupakan langkah penting dalam memperluaskan akses kepada rawatan berkualiti tinggi di negeri ini.


“Pembangunan hospital ini bukan sekadar fasiliti rawatan, tetapi satu ekosistem kesihatan bersepadu yang merangkumi rawatan klinikal, latihan profesional, pendidikan serta pembangunan kepakaran tempatan.


“Kita perlu melangkaui pendekatan berpusat supaya akses kepada rawatan berkualiti tinggi dapat diperluaskan secara menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN, di sini hari ini.


Majlis itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.


Hisham berkata, IJN komited untuk berkongsi kepakaran, teknologi dan sistem klinikal bagi memastikan perkhidmatan yang dibangunkan mencapai standard tinggi serta berorientasikan keselamatan pesakit dan hasil klinikal terbaik.


Selain itu, katanya, kolaborasi antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College turut dijangka memperkukuh pembangunan tenaga kerja kesihatan menerusi pertukaran ilmu, latihan klinikal serta pembangunan program akademik yang relevan dengan keperluan industri.


“Inisiatif ini juga berpotensi menyokong pembangunan pelancongan kesihatan negara dengan IJN sebagai antara peneraju di bawah Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), selain membuka peluang ekonomi baharu di Sabah,” ujarnya.


Tambah beliau, kerjasama berkenaan dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh sistem kesihatan negara serta meningkatkan akses rawatan dan kapasiti tempatan secara menyeluruh.


Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar; Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd Datuk Jasnih Daya; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Sdn Bhd Datuk Seri Mohamed Ezani Md Taib; Ketua Pegawai Klinikal IJN Sdn Bhd Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya; serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr William Gotulis.

 
 
 

1 Comment


lili xie
lili xie
Apr 11

Drift Boss game is an addictive and exciting racing experience where you can show off your drifting skills. It's perfect for anyone who loves challenges and racing games with simple controls and endless fun.


Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page