Imigresen Sabah tahan 61 warga asing di tapak pembinaan di Semporna
- nabalunews
- Aug 26, 2024
- 1 min read

26 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 61 warganegara asing yang bekerja di tapak pembinaan pusat peranginan di Semporna dalam Operasi Mahir di Pulau Mataking dan perairan berhampiran Pulau Bum-Bum, semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tahanan itu terdiri daripada 36 lelaki Republik Rakyat China dan 25 lelaki Filipina, berumur di antara 19 hingga 65 tahun.
Katanya, mereka adalah sebahagian daripada 95 individu diperiksa dalam serbuan di tapak pembinaan berkenaan yang menggunakan tenaga kerja asing, selepas mendapat aduan daripada orang awam.
Menurutnya, operasi itu bermula jam 7.45 pagi dan berakhir jam 3 petang, melibatkan 14 pegawai JIM Kota Kinabalu.
“Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuklah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Ketika ini, JIM Sabah juga sedang mengesan majikan dan pemilik premis atau tanah untuk disiasat di bawah Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sidang media di Depot Tahanan Imigresen Tawau, hari ini.
Tambahnya, 61 tahanan itu kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut JIM.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas serta majikan dan individu yang melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini.
Comments