Inisiatif Penanaman Moden Mampu Kurangkan Kebergantungan Import Jagung Negara
- nabalunews
- Aug 6, 2025
- 2 min read

6 Ogos 2025
KOTA MARUDU: Inisiatif penanaman jagung bijian yang dilaksanakan Koperasi Tanjung Keramat Malaysia Berhad dengan kerjasama EMAT Sdn Bhd merupakan salah satu inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung import.
Pelaksanakan projek penanaman jagung secara moden menggunakan teknologi pertanian terkini itu mampu mengeluarkan hasil produktiviti tinggi sekaligus membantu menurunkan harga makanan untuk rantaian berkaitan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, inisiatif itu mencerminkan sinergi kukuh antara kerajaan, sektor swasta dan pelabur asing dalam usaha memperkasa industri jagung bijian tempatan.

“Inisiatif ini adalah satu aset besar kepada Sabah. Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung, tetapi juga membuka peluang kepada Sabah untuk menjadi antara pengeluar utama jagung bijian negara.
“Ketika ini, negara masih mengimport hampir 100 peratus jagung bijian untuk keperluan industri makanan ternakan, terutama ayam dan lembu.
“Justeru, projek ini menjadi titik tolak kepada usaha jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan tersebut.” katanya ketika ditemui media selepas lawatan tapak projek berkenaan, semalam.

Isham berkata, menerusi penggunaan teknologi moden, produktiviti hasil dijangka meningkat kepada 15 hingga 16 tan sehektar, berbanding hanya sekitar 6 hingga 8 tan sehektar sebelum ini.
Katanya, itu adalah peningkatan ketara yang mampu menstabilkan bekalan dan menurunkan kos input industri ternakan.
“Teknologi pertanian yang digunakan ini telah terbukti berkesan di negara lain dan melibatkan sistem pengurusan tanah serta pengairan yang efisien.
“Ini secara langsung meningkatkan kualiti hasil jagung, termasuk dari segi bilangan biji dalam setiap tongkol jagung,” katanya.
Sementara itu, Isham menegaskan, projek penanaman jagung ini turut memberi limpahan manfaat kepada komuniti Kota Marudu, khususnya anak muda yang akan diberikan latihan berkaitan teknologi pertanian moden.
Katanya, ia mampu meningkatkan kemahiran mereka dan membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor pertanian berteknologi tinggi.















Comments