top of page

IPD Kota Belud Lancar Program Kesedaran Jenayah Komersil

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

3 Februari 2026


KOTA BELUD: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, dengan kerjasama beberapa agensi pencegahan jenayah, telah melaksanakan Program Pencegahan Jenayah dan Edaran Risalah Jenayah Komersil di Tamu Pekan Kota Belud, baru-baru ini.


Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi pada 28 Januari lalu itu melibatkan kolaborasi strategik antara IPD Kota Belud, Badan Sukarelawan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), Badan Pencegah Jenayah Kebangsaan (BPJKK) serta pasukan sukarelawan wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amanita.


Menurut kenyataan rasmi IPD Kota Belud, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam memberi pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai mengenai trend semasa serta teknik jenayah komersil dan siber.

Antara fokus utama program ialah pendedahan berkaitan pelbagai bentuk penipuan komersil seperti penipuan pembelian dalam talian, Macau Scam, Love Scam serta penipuan pelaburan.


Turut diadakan ialah demonstrasi dan galakan penggunaan aplikasi utiliti keselamatan seperti Semak Mule, CCID Infoline serta talian aduan Pusat Panggilan Jenayah Nasional (NSRC) 997.


Selain itu, orang ramai turut diberikan taklimat mengenai ciri-ciri serta modus operandi pengedaran wang palsu bagi meningkatkan tahap kewaspadaan masyarakat.


Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tamu, dengan kehadiran dan interaksi aktif orang ramai berjaya mewujudkan tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam komuniti.


Situasi ini sekali gus mengukuhkan peranan masyarakat sebagai barisan hadapan dalam membantu pihak berkuasa mencegah jenayah komersil di daerah ini.


IPD Kota Belud merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung ancaman jenayah komersil.


Kredit: IPD Kota Belud (Kenyataan Media & Photo)

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page