IPD Kota Kinabalu Siasat Pendedahan Dan Kebocoran Maklumat Kanak-Kanak
- nabalunews
- Sep 22
- 1 min read

22 September 2025
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengesahkan akan menjalankan siasatan berhubung satu kes pendedahan dan pembocoran maklumat berkaitan kanak-kanak melalui media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima pada jam 4.15 petang, 19 September lalu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, pihak polis telah merakam percakapan pengadu dan membuat permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Dalam masa yang sama, pihak polis sedang berusaha mendapatkan rakaman percakapan pihak pendakwa raya (TPR) serta peguam yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, usaha turut dijalankan bagi mengesan suspek bagi melengkapkan keseluruhan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Kasim menegaskan, sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak- kanak, khususnya melalui platform media sosial, merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Justeru, orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.


















Comments