top of page

IPD Lahad Datu Sita Lima Kenderaan, Keluarkan 20 Saman

  • nabalunews
  • Dec 23, 2025
  • 1 min read

23 Disember 2025


LAHAD DATU: Sebanyak 20 saman dikenakan terhadap pengguna dalam operasi sekatan jalan Op Motosikal yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, sekitar daerah ini, semalam.


Operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam itu turut menyita sebuah kereta Proton Wira selepas dikesan melakukan kesalahan.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata operasi dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, operasi berkenaan menumpukan beberapa lokasi panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan pengguna jalan sekitar bandar Lahad Datu.


“Antara kawasan operasi ialah Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana dan Jalan Pan Borneo.


“Sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos serta ubah suai struktur peralatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulbaharin berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menyita sebuah motokar dan empat motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, Dzulbaharin menegaskan, sepanjang operasi berkenaan, seramai 18 individu dan 14 kenderaan diperiksa.


Katanya, empat sesi advokasi keselamatan jalan raya turut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.


“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.


“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten demi keselamatan bersama,” katanya.


Sehubungan itu, Dzulbaharin turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan kepada pihak berkuasa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page