top of page

Isu 40 peratus: Wanita LDP mahu penyelesaian nyata, bukan alasan teknikal

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

9 April 2026


KOTA KINABALU: Ketua Wanita Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP), Glenna Wong menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun yang menegaskan Sabah wajar menerima hak hasil 40 peratus yang telah lama tertangguh.


Beliau berkata isu berkenaan tidak seharusnya terus dilengahkan atas alasan teknikal, sebaliknya memerlukan penyelesaian nyata dan berkesan dalam tempoh yang munasabah.


Menurutnya, walaupun pelaksanaannya ditangguhkan susulan keputusan mahkamah, rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diteruskan seiring dengan proses perundangan yang sedang berjalan.


“Apa yang disebut sebagai ‘penangguhan pelaksanaan’ tidak bermaksud menghentikan semua tindakan. Dalam kerangka institusi dan perundangan sedia ada, kedua-dua pihak perlu menunjukkan keikhlasan politik melalui dialog dan rundingan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.


Glenna yang juga Timbalan Ketua Wanita GRS berkata, pelaksanaan hak 40 peratus bukan sekadar isu perundangan, sebaliknya melibatkan aspek keadilan serta keyakinan rakyat terhadap sistem.


Beliau berkata, kelewatan berterusan hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat, khususnya ketika Sabah masih berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan infrastruktur, kos sara hidup tinggi dan faktor geografi.


“Dalam konteks ini, pelaksanaan hak hasil 40 peratus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan wilayah yang lebih seimbang,” katanya.


Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu subsidi diesel.


Menurutnya, Sabah dan Sarawak sebagai negeri pengeluar sumber tenaga utama berhak menerima pulangan setimpal, justeru perkara itu tidak wajar disalah tafsir sebagai agenda politik.


Selain itu, Glenna turut menyokong cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah agar mencerminkan realiti semasa negeri ini.


Katanya, dengan pertambahan populasi serta keperluan pembangunan yang semakin meningkat, jumlah kerusi sedia ada tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar Sabah.


“Penambahan kerusi bukan sahaja memperkukuh keupayaan dalam menyuarakan dasar dan memperjuangkan peruntukan, malah membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan wanita dalam pentadbiran negara,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan supaya mengambil pendekatan lebih proaktif dan pragmatik dalam menangani isu berkenaan demi memenuhi harapan rakyat Sabah.


“Hanya dengan menghentikan penangguhan yang tidak perlu, prinsip keadilan dapat direalisasikan, keyakinan dapat dipulihkan dan pembangunan negara dapat bergerak ke arah lebih seimbang serta mampan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page